Lori Terbabas, Tepung Bertaburan Penuhi Jalan Raya
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 10.45 pagi Rabu, ia dikatakan berpunca daripada sebuah lori barang membawa muatan sebelum hilang kawalan dan menyebabkan habis tepung bertaburan di atas jalan raya. Tumpahan serbuk tepung itu dilaporkan membanjiri sepanjang kira-kira 150 meter di laluan tersebut sekali gus menyebabkan kesesakan teruk apabila pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kenderaan mereka. Difahamkan, lori berkenaan dalam perjalanan ke arah Kota Belud dari ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu sebelum mengalami masalah brek ketika cuba menuruni selekoh tajam sehingga menyebabkannya hilang kawalan. Menurut Rozlan Osman, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada jam 11 pagi. “Sepasukan pegawai dan anggota telah bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu membersihkan tepung yang memenuhi jalan raya”. Pihak bomba mengambil masa sejam lebih bagi membersihkan kawasan kejadian dengan menggunakan semburan air dan jentera bomba. “Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan lalu lintas kembali pulih seperti biasa,” ujar Rozlan kepada sebuah akhbar tempatan.
|