|
Dalam konteks suami isteri yang masing-masing sedang merajuk, silaturahim boleh juga bererti menghubungkan, mendamaikan dan meromantikkan kembali hubungan di antara suami dan isteri yang agak renggang pada saat itu.
Rasulullah pernah bersabda: “Bukanlah silaturahim itu orang yang meneruskan hubungan yang sedia terjalin, akan tetapi silaturahim itu adalah orang yang apabila terputus hubungan, dia menjalinkannya kembali.” [Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Targhib, no: 2533]
Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah ditanya tentang amalan-amalan yang terbaik. Baginda menjawab: “Menjalinkan hubungan dengan orang yang memutuskan hubungan denganmu, engkau memberi kepada orang yang tidak memberi kepadamu dan memaafkan orang yang menzalimi kamu.” [Riwayat Ahmad, Shahih al-Targhib, no: 2536- b]
Rasulullah juga menegaskan: “Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah dia menjalin silaturahim.” [Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Targhib, no: 2519]
Hadis-hadis di atas dapat memberi jawapan kepada soalan “Siapa nak pujuk dulu?” Jelas bahawa yang pertama memujuk adalah orang yang menjalinkan semula silaturahim di antara suami isteri dan orang ini mendapat ganjaran sebaik-baik amal, kelapangan rezeki dan dipanjangkan umur. Oleh itu berdasarkan hadis-hadis ini, hendaklah pasangan suami isteri yang sedang merajuk berlumba-lumba untuk menjadi yang pertama memujuk, bukan yang menunggu dipujuk.
Sekali sekala merajuk termasuk masam manis kehidupan berumahtangga. Akan tetapi jika terlalu kerap merajuk, ia akan menjadikan pasangan anda “naik meluat” dan tidak lagi melayan anda. Oleh itu, kepada bakal-bakal suami dan isteri, jangan terlalu kerap merajuk sehingga ia menjadi agenda harian.
Janganlah menjadikan kehidupan baru sebagai suami isteri sebagai alasan untuk merenggangkan hubungan sesama ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai. Hendaklah anda menjadi orang-orang yang menjalinkan silaturahim, bukan memutuskannya. Oleh itu luang-luangkanlah masa untuk berhubung dengan semua, sama ada melalui panggilan telefon atau ziarah menziarah.

pesonapengantin
|
|