|
Perenang muda berbakat negara, Phee Jinq En beraksi cemerlang untuk meraih pingat emas dalam acara 100m kuak dada wanita pada Sukan SEA ke-28 hari ini.
Pencapaian itu adalah satu-satunya pingat yang diperoleh Malaysia dalam acara renang di Pusat Akuatik OCBC di sini malam ini.
Jinq En, 17, yang membuat penampilan sulung pada Sukan SEA, mencatatkan satu minit dan 10.47 saat untuk meraih pingat emas dan ia juga merupakan catatan masa peribadi terbaiknya.
Pingat perak dan gangsa diraih dua perenang Singapura, Roanne Ho dan Samantha Yeo dengan masing-masing mencatat 1:11.78s dan 1:11.87s.
Sementara itu, pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar, Christina Loh sekadar menduduki tempat kelima dengan masa 1:12.16s.
"Pencapaian peribadi terbaik saya sebelum ini ialah 1:10.75s yang dicipta pada Terbuka Malaysia, Mac lepas.
"Saya tidak menyangka memenangi pingat emas...saya hanya berenang dan cuba melakukan yang terbaik. Apabila saya menoleh dan melihat di papan markah, saya berasa gembira...cukup gembira.
"Semua kerja keras sebelum ini berhasil," kata Jinq En, yang mula menyertai skuad kebangsaan pada September tahun lepas.
Acara seterusnya yang bakal disertai Jinq En ialah 50m kuak dada wanita pada Rabu ini.
"Saya tidak mahu mengharapkan sesuatu. Saya cuma mahu melakukan yang terbaik dan berharap akan mencipta catatan peribadi terbaik yang baharu," katanya.
stadiumastro.com
|
|