|
TIADA keserasian dilihat menjadi punca beregu campuran negara Muhd Shakirin Ibrahim dan Lee Rou You gagal mempamerkan aksi cemerlang pada saingan suku akhir pingpong Sukan SEA ke-28 di Stadium Tertutup di Singapura hari ini.
Pemain berpengalaman Muhd Shakirin berkata, gandingan pertama kalinya dengan Rou You tidak dapat memberikan perlawanan yang baik walaupun masing-masing memberikan saingan sengit sebelum tewas kepada beregu Vietnam, Dinh Quang Linh dan Mai Hoang My Trang 3-2.
Beregu negara kalah 10-12, 11-8, 10-12, 11-9 dan 11-9. "Dahulu ketika saya bergandingan dengan Beh Lee Wei, kami tidak pernah kalah kepada beregu Vietnam ini. Saya anggap kami tiada rezeki untuk menang perlawanan tadi. Kelemahannya kami terlalu mahu menang dan Rou You juga tidak dapat menerima bola dari lawan dengan baik.
"Jadual padat tiada masalah, secara keseluruhan kami kurang keserasian dan lemah dari segi taktikal. Rou You juga berasa sedikit gugup apabila berhadapan dengan bola yang dihantar pemain lelaki Vietnam," kata Muhd Shakirin yang membuat penampilan kali keenam pada Sukan SEA.
Kekalahan itu juga menyebabkan beregu campuran negara terlepas sekurang-kurangnya pingat gangsa.
Dua beregu yang tewas di pusingan separuh akan berkongsi pingat gangsa.
Namun bagi acara perseorangan lelaki pula, Muhd Shakirin mengungguli Kumpulan B selepas menewaskan Phinith Kongphet dari Laos 3-0 (11-7, 11-8 dan 11-8) sementara Muhamad Ashraf Haikal Muhamad Rizal berada pada kedudukan keempat dalam Kumpulan C setelah menewaskan pemain Thavisack Phathaphone dari Laos 3-1 (11-7, 7-11, 11-8, 11-6).
Rou You pula menduduki tangga kedua Kumpulan B bagi perseorangan wanita selepas menundukkan Sendrina A.Balatbat dari Filipina 3-1 (11-4, 6-11, 11-6, 11-3).
Seorang lagi pemain perseorangan wanita negara, Ng Sock Khim mengungguli Kumpulan D selepas menewaskan Dwijayanti Gustin dari Indonesia 3-0 (13-11, 11-3, 11-6). - Bernama
|
|