|
JURULATIH beregu campuran, Tan Kim Her yakin penguasaan Indonesia dalam acara campuran Sukan Sea 2015 Singapura mampu disekat dua anak buahnya, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Tan Aik Quan-Lai Pei Jing
Meskipun tidak diletakkan harapan meraih pingat, namun Kim Her percaya anak buahnya itu mampu mencipta kejutan dan menjelmakan pingat untuk kontinjen Malaysia.
"Peng Soon-Liu Ying sudah hampir untuk kembali pada tahap prestasi sebenar dan saya harap mereka boleh raih pingat emas kali ini, begitu juga Aik Quan dan Pei Jing yang menunjukkan peningkatan dalam setiap kejohanan disertai.
"Saya yakin, jika kedua-dua beregu ini pamer aksi terbaik tidak mustahil emas akan berada dalam genggaman mereka," katanya ketika dihubungi.
Untuk rekod, Indonesia menguasai pingat emas di Sukan Sea sebelum ini menerusi Nova Widianto-Lilyana Natsir (2005 di Manila dan 2009, Laos), Flandy Limpele-Vita Marissa (2007, Korat), Tantowi Ahmad-Lilyana Natsir (2011, Palembang) dan Muhd Rijal-Debby Susanto (2013, Myanmar).
Kali terakhir beregu campuran meraih pingat emas dalam temasya dwitahunan itu ialah pada 1999 di Brunei menerusi Chew Choon Eng-Chor Hooi Yee.
Acara berpasukan di jadual berlangsung 10 hingga 12 Jun diikuti acara individu dari 13 hingga 16 Jun.
sinarharian
|
|