|
Singapura menjadi venue dan pengalaman pertama penulis dalam membuat liputan di Temasya Sukan SEA. Biarpun sudah membuat liputan di Temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan tahun lalu, temasya Sukan SEA nyata berbeza.
Sejak tiba di Singapura Jumaat lalu (29 Mei 2015), penulis sudah membuat beberapa liputan mengenai persiapan atlet negara yang akan memulakan cabaran. Apa yang ingin penulis kongsikan disini, pengalaman baru yang tidak terjangka sama sekali.
Tidak pasti sama ada ia satu prosedur biasa yang dilakukan di Sukan SEA atau ia diwujudkan sendiri tuan rumah, Singapura, wartawan DILARANG membuat liputan atlet negara sendiri.
Ia pengalaman baru buat penulis yang berdepan kekangan untuk membuat liputan latihan atlit ping pong negara di Sekolah Tinggi Donmun.
Biarpun sudah mendapat kebenaran pengurus dan jurulatih pasukan, namun wakil pengurusan tuan rumah tetap melarang penulis dan rakan wartawan lain memasuki venue latihan tanpa sebab munasabah.
Tidak cutup dengan itu, penulis sekali lagi berdepan masalah sama di Pusat Akuatic OCBC. Wakil tuan rumah bertindak mengarah penulis dan rakan media Malaysia yang lain keluar daripada venue latihan atas alasan sama biarpun pengurus pasukan ada bersama kami dan membenarkan liputan dibuat.
Apa yang lebih mengecewakan, tiada alasan kukuh mengapa penulis bersama rakan wartawan tidak dibenar membuat sebarang liputan latihan atlet negara. Bukan sahaja penulis, malah rakan media dari Malaysia sama ada daripada media cetak atau elektronik turut hadapi masalah serupa. Bagi penulis ia sebagai pengalaman. Selain pengalaman pelik yang ditempuh, penulis tidak menafikan tuan rumah sudah cuba memberikan yang terbaik dalam memastikan kelancaran penganjuran temasya kali ini. Antara yang dapat penulis lihat adalah kelengkapan yang disediakan di Pusat Media Utama MPC yang terletak di Stadium Kallang.
Bagi penulis sekatan dan halangan ini tidak akan mematahkan semangat dalam memberikan liputan terbaik buat peminat sukan tanah air bermula sekarang hingga 16 Jun nanti.
sumber:www.stadiumastro.com
|
|