Toyota telah mengeluarkan satu video terbaru pada 4 Mac 2015 yang lalu yang menunjukkan beberapa teknologi keselamatan terbaru yang dikeluarkan oleh pengeluar Jepun itu yang diberikan nama Safety Sense. Ciri-ciri keselamatan ini dijangkakan akan datang pada model-model baru yang bakal keluar. Video tersebut memaparkan gabungan beberapa ciri-ciri keselamatan seperti Pre-Collision System yang menggunakan kamera dan sensor laser untuk mencegah pelanggaran yang tidak dijangkakan oleh pemandu. Kedua ialah Lane Departure Alert yang menggunakan kamera untuk memastikan yang anda memandu dalam lorong anda. Jika anda tersasar, ianya akan memberikan amaran kepada pemandu agar memasuki semula lorong pemanduan yang betul. Ketiga ialah Road Sign Assist yang menggunakan kamera untuk memantau tanda jalan seperti tanda had laju. Jika anda melebihi had laju yang ditetapkan, sistem tersebut akan memberikan amaran kepada pemandu untuk memperlahankan kenderaan sehingga kelajuan yang selamat. Terakhir sekali ialah Automatic High Beam yang menggunakan kamera untuk melihat keadaan trafik pada waktu malam. Jika tiada trafik, sistem itu secara automatik akan menggunakan lampu tinggi untuk memberikan penglihatan yang lebih jelas kepada pemandu. Jika terdapat trafik, sistem tersebut akan menggunakan lampu rendah secara automatik. Jika dilihat pada video tersebut, animasi yang ditunjukkan menggunakan kereta Toyota Corolla dan ianya sedikit berbeza dengan model semasa yang dijual di pasaran. Adakah ini juga merupakan salah satu cara Toyota untuk menunjukkan yang teknologi ini bakal digunakan pada model Toyota Corolla Facelift akan datang?
kredit:www.arenakereta.com
|