|
Mohsen (depan, kiri) bersama bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkefli Embong (lima,kanan) pada Festival Belia Putrajaya 2012.
MASYARAKAT Bola Rotan (MBR), satu nama yang kini semakin dikenali khususnya di laman sosial Facebook dalam kalangan peminat dan pencinta sukan sepak takraw.
Laman yang memaparkan aktiviti sukan warisan tersebut telah didaftarkan pada 8 Mac 2012, diasaskan anak muda kelahiran Kuala Lumpur, Mohsen Ahmad yang melihat masyarakat mudah tertarik dengan rakaman video dan foto.
Usaha murni peminat tegar sepak takraw ini nyata membuahkan hasil apabila mereka memiliki sekurang-kurangnya 106,000 ahli yang berkomunikasi menggunakan laman tersebut untuk memaklumkan bengkel, aktiviti dan kejohanan di kawasan mereka.
Peringkat awal
Bagi Mohsen, sebelum ini segala aktiviti sepak takraw hanya dipaparkan melalui penulisan dalam Bolarotan.blogsports.com, di mana penyebarannya agak terhad namun dengan kewujudan MBR, sambutan diterima menggalakkan daripada peminat pelbagai lapisan umur.
Meletakkan objektif penubuhan untuk memaparkan aktiviti sukan warisan tersebut melalui perkongsian maklumat, Mohsen mengakui sokongan diberikan ahli menguatkan lagi semangat untuk meneruskan usaha tersebut.
“Saya pun tidak menjangkakan sambutan diberikan peminat begitu memberangsangkan, keadaan ini jelas menggambarkan bahawa sukan warisan kita belum lagi pupus, cuma kurangnya hebahan kepada masyarakat setempat.
“Melalui laman web kita ini (MBR) peminat di luar akan berkongsi kejohanan melalui video mahupun foto yang dimuat turun dalam web tersebut, secara tidak langsung kita dapat mengenal pasti bakat dimiliki pemain ketika peringkat usia muda,” jelasnya.
Bukan saingan
Mengulas kewujudan MBR ini yang dilihat menjadi saingan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) apabila tidak sehaluan selain teguran sinis, Mohsen mahu PSM melihat secara positif demi pembangunan sepak takraw Malaysia.
“Kami bukan golongan yang suka menimbulkan permasalahan dengan PSM, apa yang diutarakan pastinya disokong dengan bukti yang ada, jika PSM berfikiran positif jangan anggap kami ini berhaluan kiri.
“Apa yang kami buat ini semua adalah demi memastikan agar sukan ini tidak tenggelam ditelan zaman, adakah PSM terasa akan kewujudan kami yang dilihat seolah-olah mengambil alih peranan mereka.
“Saya rasa jawapan ini ada pada mereka, lakukanlah sesuatu demi memartabatkan kembali sukan warisan ini,” katanya.
sumber:sinar harian
|
|