Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, demikian peluang keemasan diperoleh Fouziah Gous untuk memikul mandat sebagai hos Nona di TV3 pada tahun ini. Jika dulu dia berbelah bahagi disebabkan komitmen lakonan, kini siapa sangka niatnya mahu mencuba nasib sebagai pengacara dimakbulkan. Lebih bermakna lagi tawaran itu untuk program sinonim dengan TV3 yang sudah 30 tahun bersiaran.
Malah, Fouziah sendiri mengakui sejak berusia kecil beliau sudah terbiasa dengan kewujudan rancangan Nona yang meraih populariti dalam kalangan rakyat negara ini. Ia juga jadi lebih berharga kerana tawaran Nona itu datang dua hari sebelum sambutan hari lahirnya yang ke-32 pada 11 Disember lalu. Ini bererti pembabitan Fouziah sebagai hos Nona akan menggantikan posisi hos sebelum ini yang dikendalikan Neelofa dan Fara Fauzana. "Saya pernah diundang sebagai pengacara jemputan Nona sebelum ini. Cuma sejujurnya saya tak sangka dan terkejut bila tawaran mengemudi program ini datang. "Atas dasar mencabar diri dan tidak mahu melepaskan peluang ini, saya terima. Setidak-tidaknya komitmen ini membolehkan masa bersama suami lebih banyak berbanding kerja berlakon. "Setakat ini sudah dua episod dirakamkan dan kontrak saya bersama Nona untuk setahun. Sepanjang komitmen ini juga saya tak akan ambil tawaran kerja lain," katanya teruja sambil menegaskan tawaran ini satu tanggung jawab berat. Ketika tawaran diusulkan, debaran dan gelabah Fouziah bukan kepalang. Lebih mengejutkan beliau mengendalikan Nona seorang diri tanpa hos lain. "Sangka saya akan bergandingan dengan hos lain tapi saya mengemudi Nona seorang diri. Atas sokongan penerbit Kak Bariah termasuk hos otai di TV3 seperti Ezzah Aziz Fawzy dan Nurfarahin Jamsari, kurang sikit gementar. "Bayangkan betapa teruja dan semangat, bangun pagi atau duduk saja saja di mana mana, skrip Nona menjadi teman akrab di sini. Saya juga banyak membaca untuk menambah pengetahuan. "Saya juga sanggup turun padang dan bukan sekadar hos semata mata. Tak lama lagi saya dan pasukan Nona akan turun ke Kelantan untuk membuat liputan mangsa bencana banjir di sana," katanya. Tambah Fouziah lagi, tawaran mengendalikan Nona menjadi pembuka tirai terbaik buat trek kerjayanya. "Saya pelakon dan bukannya pengacara. Dunia pengacaraan masih asing kepada saya dan jujur saya tak arif dalam skop kerja ini. "Saya tak mahu berjanji besar tapi akan cuba mempersembahkan yang terbaik untuk mandat ini. Apa saja kekurangan akan saya perbaiki," katanya.
|