Mesej ringkas selamat dihantar.
Mesej seterusnya ditaip-taip lagi. Sambil pandangannya terarah kepada Alia. Memendam rasa sangat!
“Kenapa baru sekarang kau nak bagitahu aku?” Jemari Maria tetap juga di skrin handphonenya.
“Dah lama aku niat nak bagitahu...tapi kau tu...kau kan susah nak percaya kalau aku cakap apapun. Mar..., laki lain kan ramai lagi...” Alia tak tapis ayatnya. Hampir dua bulan dia menyusun ayat yang lebih baik untuk saat ini, namun entah apa-apa yang keluar dari celahan bibirnya tadi, lantaklah, janji maksud sampai. “Johan tu bukannya laki baik pun. Ramai lagi laki lain yang jauh lebih baik daripada dia tu. Laki macam tu nak tumpang senang kau je. Dah berapa banyak kau melabur kat dia? Yang senangnya dia, kau apa dapat? Kau dapat hensem dia je, bukannya boleh tumpang sampai tua pun. Aku bukannya suka sangat ni nak membebel-bebel...tapi kau tu kawan baik aku,” tas tangan kelabunya disangkut dibahu, Maria bangun dan berlalu begitu saja.
Dari jauh Maria melihat kereta Alia berlalu, dia masih tetap kaku di kerusinya ditemani Mee Tom Yam, yang kononnya menu istimewa dari Secret Recipe.
Kalau dihitung-hitung, insyaAllah penghujung tahun ini dia akan menamatkan zaman solonya. Kondo yang selama ini dihuninya sendirian tidak lagi akan sunyi, dia akan berdua selepas ini...dengan seorang lelaki yang bergelar suami. Johan itulah cintanya sejak dari dulu lagi...seorang yang baik kepada dirinya selama ini. Hampir dua tahun sudah mereka cuba mengenal hati budi masing-masing.
Namun, dari pandangan mata kasar semua orang melihat Johan seorang yang bertuah kerana mendapat tempat di hatinya, hanya berjawatan biasa-biasa saja sebagai kakitangan perkhidmatan awam dengan pendapatan yang biasa-biasa juga. Apatah lagi kini dia sedang cuti belajar, walaupun bergaji penuh tetapi tanpa biasiswa. Marialah yang banyak ‘melabur’.
Menghitung hari selepas pertemuannya dengan Alia tempohari, sudah tiga hari Johan tidak menghubunginya. Beberapa mesej yang dihantar juga tidak berbalas. Jika dulu dia boleh memujuk hati mengatakan tunangnya itu sedang sibuk belajar, tetapi kali ini jiwanya benar-benar terganggu dengan perkhabaran terkini tentang Johan. Hari ini dia bukan berada di kampusnya, tetapi di Bangkok sudah beberapa hari!
Sekali lagi Maria membelek beberapa keping gambar di skrin handphonenya. Gambar yangketiga itu begitu menusuk jantungnya. Matanya bergenang. Tidak sanggup dia menatap lama, jarinya melalu lagi di skrin, gambar seterusnya ditatap kosong. Johan masih ada di situ. Bersama perempuan lain!
Sudah acap kali juga Alia memberitahunya bahawa Johan telah curang kepadanya. Masakan Maria mahu percaya jika tidak dibuktikan! Selama ini tunangnya itu begitu setia dan baik kepadanya.
Gambar-gambar itu masih lagi ditatapnya walaupun sudah berulang kali. Hari ini Alia dengan senang hati mahu menemaninya di kondo. Dia sebenarnya turut menjemput Johan kesini.
Lewat 10 minit, kedengaran ada ketukan pada pintu rumahnya. Maria memandang Alia. Dia menarik nafas dalam, mahu membuat perhitungan hari ini. Sebelum pintu dibuka, seraut wajahnya yang disolek tipis sempat dipandang sekilas di cermin hias di dinding menuju ke pintu. Dia tetap mahu kelihatan cantik dan menarik walaupun jiwanya remuk parah.
“Lia, aku ok tak? Aku nak kelihatan macam biasa je...aku nak dia yang bertukar jadi beruk!” Maria cuba ketawa...yang dibuat-buat sebenanrnya, sakit di dalam siapa yang tanggung? Alia sekadar mengangkat jari ‘peace’! Dia bangun dari sofa menuju ke balkoni. Dua minggu Maria mengambil cuti selepas pertemuan mereka di Secret Recipe tempohari. Siapa tidak kecewa dicurangi bakal suami?
Di balik langsir Alia nampak Maria membuka pintu, tapi grillnya tidak turut dibuka. Kedengaran ada bicara di antara mereka. Sepuluh minit berlalu, ‘dummm!!!’ bunyi pintu dihempas kuat, diikuti ketukan bertalu-talu dari luar sana. Kuat. Lama. ... Namun makin perlahan...dan sepi akhirnya. Sukar untuk dia membayangkan apa pandangan jiran-jiran terhadap mereka selepas ini. Apa mereka kisah? Ini Kuala Lumpurlah! Kondo mewah pulak tu. Dia memujuk hati sendiri.
Alia pula menarik nafas dalam, dia menapak perlahan mahu ke ruang tamu. Takut pun ada, cemas pun ya! Perlahan-lahan dia menyusun langkah mahu mendapatkan Maria yang kelihatan tenang-tenang saja sedang membelek handphone. Maria menjeling kepadanya, dalam waktu yang sama Alia melihat ke pintu rumah. Kelihatan seperti serpihan kaca berterabur di lantai berhampiran pintu. Sah! Handphone Johan menjadi mangsa Maria. Huh, padan muka! Berlagak sangat dengan smartphone free tu. Kalau bukan Maria yang bagi jangan harap beruk tu mampu nak beli sendiri!
Segelas air suam disuakan kepada Maria. Rakus dia menghabiskannya sekelip mata sahaja.Fuhhh!!!
“Apasal kau tengok aku semacam je?” Maria buka mulut.
“Jadi kau kahwin tahun ni?”
“Apa punya soalan da...”
“Persiapan yang kau dah buat tu macamana?”
“Yang kau tolong risaukan sangat ni kenapa?”
“Err...deposit tempahan dewan kat Shangri-La hotel hari tu kan kau pinjam duit aku sikit.”
“Apa punya kawan da...”
“Jadi tak jadi janji kau bayar duit aku balik.”
“Nantilah aku fikir balik.”
“Well...jom kita pergi makan. Senak perut aku nih tengok korang tadi.”
Maria gelak besar. Aku sambung memeriahkan suasana yang tegang sekejap tadi.
“Johan tu langsung tak kenang budi kau selama ni kan. Nasib baik kau percaya bila tengok gambar-gambar tu semua, lagi-lagi gambar yang diaorang masuk bilik hotel berdua tu. Itu semua kerja kawan aku...aku yang suruh diaorang buat kerja-kerja tu semua. Aku sayang bangat sama kau adik manis,” Alia gelak lagi.
“Syyy...”Maria letak jari telunjuk di tengah bibirnya. Dia menghulurkan handphonenya kepada Alia. Gambar seorang jejaka ala-ala Syarul Ridzuan terpapar di skrin. “Mak aku hantar proposal pagi tadi...katanya kalau aku setuju, bulan depan diaorang hantar rombongan meminang.”
Alia bulatkan mata! Bertuahnya anak Dato’ ni. Tak sampai sebulan putus tunang dah ada yang merisik.
TAMAT
Last edited by sarizu on 27-5-2014 01:06 PM
|