BAGI anda yang meminati filem berbentuk tarian jalanan atau muzikal, filem Battle Of The Year barangkali menjadi antara filem yang anda nanti-nantikan.
Filem arahan Benson Lee ini mungkin tidak banyak bezanya dengan filem berbentuk muzikal lain seperti Step Up, Street Dance, Save The Last Dance dan banyak lagi.
Namun kali ini ia tidak melibatkan banyak drama, sebaliknya lebih menjurus kepada latihan dan fokus utama mereka untuk bergelar juara di Battle Of The Year International Championships.
Mengetengahkan tarian b-boying juga dipanggil ‘breakdancing’, sejenis tarian jalanan yang berasal dari budaya hip-hop Amerika Afrika dan remaja Latino di New York City semasa era 1970-an.
Battle Of The Year, atau lebih dikenali sebagai BOTY, ialah satu pertandingan siri b-boying tahunan yang bermula pada tahun 1990. Pertandingan ini berdasarkan kumpulan dan bukan satu individu sahaja.
Pengarah Benson Lee menggunakan BOTY sebagai premis filem “Battle Of The Year”, tentang satu krew b-boying Amerika yang menuju ke Perancis untuk bertanding.
Filem yang menampilkan Josh Holloway, Laz Alonso, Josh Peck, Chris Brown dan Caity Lotz ini akan membawa penonton mengharungi segala cabaran dan suka duka mereka sepanjang sesi latihan sebelum ke pentas tarian utama.
Tiada keistimewaan
Namun secara keseluruhannya, pada pendapat penulis BOTY tidak banyak kelainan atau keistimewaannya berbanding filem muzikal sebelum ini.
Malah kebanyakan tarian yang diketengahkan sudah biasa dilihat dalam pertandingan tarian seperti Show Me You Can Dance atau pertandingan Showdown di Malaysia.
Hanya permainan drama yang membezakan filem ini daripada filem-filem yang lain. Apatah lagi ia melibatkan banyak Negara dan secara tidak langsung melibatkan banyak bahasa.
Begitu juga dengan pergerakan plot yang agak perlahan pada permulaan dan hanya bertukar rentak sebaik sesi perlawanan sebenar, hampir bermula.
Chris Brown daya penarik
Penglibatan Chris Brown dalam filem ini, pada pendapat penulis menjadi daya tarikan utama penonton terutamanya bagi peminat Brown untuk hadir menyaksikan filem ini.
Apatah lagi, dengan lakonan yang cukup memberangsangkan, tidak mustahil Brown akan menyerlah di dalam bidang lakonan selepas ini.
Bagaimanapun, bagi anda yang meminati filem berbentuk muzikal atau tarian seperti ini, jangan lupa saksikan Battle Of The Year dan saksikan usaha kumpulan ini untuk memenangi pertandingan besar di Perancis.