JOHOR BAHRU - Seorang peminat setia bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT) cedera parah setelah terjatuh dari ketinggian 15 meter selepas menyaksikan perlawanan antara pasukan itu menentang pasukan Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini semalam. Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, mangsa Rosdhi Rosiman, 29, dilaporkan terjatuh semasa sedang membuka bendera yang dipasangnya di tempat duduk belakang stadium. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Zainuddin Yaacob berkata mangsa dipercayai terjatuh setelah dilanggar oleh penonton yang ketika itu berasak-asak untuk keluar setelah tamat perlawanan. "Mangsa yang berpakaian jersi Johor mungkin berdiri di pagar dan terjatuh semasa berada dalam keadaan yang sesak pada waktu itu. "Beliau masih sedar semasa dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA), namun kini berada kalam keadaan koma dan berada di Unit Rawatan Rapi," kata Zainuddin ketika dihubungi hari ini. Mangsa yang bekerja di sebuah kilang lampu di sini dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kepala, abdomen serta tulang dan telah menjalani pembedahan...
|