Saya bercerai dengan bekas suami pada 2003 dan hak penjagaan dua orang anak diserahkan kepada saya dengan nafkah anak RM300 sebulan seorang. Masalahnya, dari bulan pertama sehingga kini, bekas suami tidak pernah membayar walau sesen nafkah. Hampir 10 tahun bercerai, dia juga tidak pernah menanggung apa pun keperluan anak yang ditinggalkan.
Kini dia menetap di Perak dan saya tidak tahu sama ada dia bekerja atau pun tidak.
Saya juga tidak tahu alamat tempat tinggalnya yang sebenar kecuali rumah adik perempuannya saja.
Bagaimana saya ingin menuntut supaya bekas suami membayar nafkah anak-anaknya yang lama diabaikan. Apakah tindakan yang perlu dilakukan untuk mendapatkan hak anak-anak saya.
Nor,
Bandar Melaka.
Tempoh 10 tahun adalah satu masa yang lama berlakunya pengabaian nafkah oleh seorang bapa terhadap anak-anaknya.
Lebih-lebih lagi sudah ada perintah persetujuan bersama untuk bapa membayar nafkah anak dalam jumlah tertentu.
Maka jumlah yang gagal dibayar itu dikira sebagai hutang yang tidak akan luput sehinggalah si bapa menjelaskannya kepada ibu yang mendahulukan perbelanjaan untuk anak-anak selama itu.
Bapa yang tidak membayar nafkah kepada anak-anaknya sedangkan dia ada kemampuan adalah diibaratkan sebagai pengkhianat kepada amanah Allah SWT.
Bapa seumpama ini sebenarnya memperjudikan nasib dan masa depan anak-anak mereka apatah lagi jika ibu yang menjaga anak-anak itu tidak berkemampuan untuk menanggung keseluruhan kos dan keperluan anak-anak.
Apakah tidak terdetik di hati mereka suatu pertanyaan, sewaktu mereka makan dan berseronok, apakah nasib anak-anak aku pada waktu ini? Adakah mereka juga dapat makan makanan lazat seumpama aku makan pada hari ini? Apakah mereka juga seronok pada waktu ini seumpama aku berseronok?
Ini kerana, bagi bapa yang bertanggungjawab mereka tidak akan sanggup melihat anak-anak mereka susah kerana anak-anak tidak mempunyai sumber pendapatan dan bergantung harap sepenuhnya kepada sumber kewangan daripada bapa mereka.
Dalam kes ini, adalah jelas si bapa bersikap tidak bertanggungjawab dan mempunyai ciri orang munafik iaitu dia sudah berjanji untuk membayar nafkah tetapi bukan sahaja tidak membayarnya tetapi juga menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.
Si bapa ini melakukan kesalahan yang berganda yang boleh mengundang kesan negatif kepada dirinya sendiri dan sudah tentulah kepada anak-anak terbabit.
Dalam hal ini, undang-undang yang sedia ada boleh diguna pakai untuk mengatasi masalah seumpama ini.
Iaitu dengan cara puan mengesan terlebih dulu alamat terkini bekas suami melalui agensi tertentu seperti Jabatan Pendaftaran Negara, PERKESO, KWSP dan SPR yang menyimpan rekod terkini mengenai alamat tempat tinggal atau tempat berkerja setiap rakyat Malaysia.
Apabila puan memperoleh alamat itu, maka puan bolehlah memulakan tindakan saman penghutang penghakiman terhadap bekas suami dan kebiasaannya perbicaraan kes seumpama ini tidak akan mengambil masa yang panjang.
Puan boleh meminta bantuan guaman yang disediakan pihak kerajaan untuk mempercepatkan proses tanpa kos ke atas diri.
Selain itu, jika alamat bekas suami dapat dikesan, puan juga boleh meminta bantuan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) yang terdapat di mahkamah syariah tempat puan tinggal untuk membantu puan mendapatkan bayaran nafkah anak-anak sementara puan menyelesaikan tindakan saman terhadap bekas suami puan itu.
Selain daripada tindakan undang-undang, sebaiknya puan minta bantuan daripada keluarga bekas suami terutama ayahnya (jika ada) untuk membantu membayar nafkah anak-anak.
Ini kerana di dalam Islam, ahli keluarga sebelah bapa juga adalah bertanggungjawab untuk membantu menyara anak-anak yang diabaikan oleh bapa mereka.
Kefahaman ini perlu ada pada setiap ahli keluarga agar tidak berlaku kezaliman ke atas mana-mana pihak berpunca daripada pengabaian yang dilakukan oleh mana-mana ahli keluarga mereka sendiri.
Pembaca yang mempunyai sebarang masalah berkaitan undang-undang Syariah boleh menghantar kemusykilan anda melalui e-mel di [email protected]
|