|
Dijangka sumbang RM9.5b kepada PNK menjelang 2020\rPROJEK ternakan udang bersepadu membabitkan pelaburan RM375 juta yang akan dilaksanakan oleh JEFI Aquatech Resources Sdn Bhd (JEFI) di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dijangkakan menyumbang RM9.5 bilion kepada pendapatan negara kasar (PNK) Malaysia menjelang 2020.\r\n\n\n\n\r Projek diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan kemajuan Program Transformasi Ekonomi (ETP), pertengahan bulan lalu itu akan turut mewujudkan 2,800 peluang pekerjaan baru dan perniagaan, iaitu 500 pekerjaan di Pusat Akuatek, 300 di Ladang Akuatek dan sehingga 2,000 usahawan pertanian apabila dilaksanakan sepenuhnya.\r\r\n\n\n\n\n Ia projek akuakultur terbesar di negara ini selepas projek akuakultur di Sungai Selinsing, Perak dengan pelaburan bernilai RM150 juta, Sungai Menghulu, Langkawi, Kedah pada RM15 juta dan Sungai Kerang, Perak pada RM24.6 juta.\rKetua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq, berkata pihaknya gembira dengan keputusan JEFI memilih NCER sebagai pusat operasi untuk projek ternakan udang bersepadunya, sekali gus membantu membangunkan usahawan di kawasan luar bandar.\rBeliau berkata, program usahawan pertanian untuk membangun dan meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi negara itu sejajar dengan matlamat NCIA dan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).\r“Sebagai pihak berkuasa pelaksana ETP di Utara tanah air, kami melihat usaha yang dijalankan JEFI bakal memangkin banyak perkara dalam industri akuakultur di NCER,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran dokumen antara JEFI dan NCIA di Kuala Lumpur, semalam.\r\n\n\n\n\rMajlis itu disaksikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir. Hadir sama, Ketua Eksekutif JEFI, Tan Beng Jeen. \rSementara itu, Beng Jeen berkata, projek itu dipercayai dapat membangunkan semula industri akuakultur negara serta akan meningkatkan sumbangan bekalan udang Malaysia kepada dunia daripada hanya lima peratus pada masa ini.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|