
Gambar hiasan
MIRI: Bagi menangani masalah putus bekalan tong gas petroleum cecair (LPG) dan menampung keperluan pengguna di negeri ini, PETROSNiaga memutuskan untuk menghantar bekalan dari Kuching dan Teluk Sepanggar di Sabah.
Justeru, untuk memastikan bekalan mencukupi dan stabil di negeri ini, Terminal Minyak Bebas (IOT) Senari di Kuching telah meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga 29,000 silinder (tong) sehari.
“Dengan anggaran 1.8 juta silinder LPG dalam edaran, terdapat bekalan yang mencukupi untuk memenuhi permintaan di seluruh Sarawak,” kata PETROSNiaga dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Insiden tanah runtuh semasa keadaan cuaca buruk baru-baru ini telah mengakibatkan operasi di loji pengisian tong LPG oleh PUSAKA Integrated Resources Sdn Bhd di Bintulu terpaksa dihentikan sehingga kerosakan dipulihkan.
Bagaimanapun, beberapa kawasan seperti Miri dan utara Sarawak mengalami pemulihan bekalan yang lebih perlahan berikutan jarak pengangkutan yang lebih jauh dan bilangan lori yang sesuai bagi kerja-kerja pemunggahan.
Oleh yang demikian, bagi mengurangkan masalah yang timbul, depot simpanan tambahan sedang disediakan di Bintulu dan Miri untuk menambah baik dalam masa pemulihan ketika ini, bagi pengagihan bekalan yang cekap.
Kemudahan baharu ini akan membantu mengurangkan kekangan logistik dan menyokong penghantaran bekalan yang lebih pantas dan memulihkan keadaan di Miri dalam beberapa hari akan datang.
Sementara itu, PETROSNiaga akan mengenal pasti lebih banyak depot simpanan sementara untuk kawasan yang mempunyai situasi serupa dalam usaha memastikan peredaran bekalan silinder LPG bersubsidi untuk kegunaan isi rumah LPG dan silinder LPG tanpa subsidi untuk kegunaan komersial di seluruh Sarawak kembali normal dalam bulan ini.
Dalam pada itu, PETROSNiaga memberi jaminan, tidak akan ada kenaikan harga LPG bersubsidi untuk kegunaan isi rumah, walaupun cabaran logistik yang meningkat.
PETROSNiaga sebaliknya menyerap kos ini untuk mengelakkan sebarang beban kewangan kepada pengguna.
Harga LPG isi rumah bersubsidi kekal pada RM26.60 apabila dikutip di mana-mana pengedar dan pengedar sah.
Sebarang kenaikan harga atau caj tambahan yang tidak dibenarkan hendaklah dilaporkan kepada Khidmat Pelanggan PETROSNiaga di 1300-88-2122 atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di 1-800-886-800 atau 019-8488000 melalui WhatsApp.
“PETROSNiaga menggesa orang ramai supaya bertenang dalam tempoh mencabar ini kerana langkah-langkah diambil untuk memastikan bekalan LPG berterusan ke kawasan terjejas.
“Kami menghargai kesabaran dan kerjasama semua pengguna kerana usaha terus dilakukan bagi memulihkan pengedaran LPG biasa di seluruh Sarawak,” kata kenyataan itu lagi.
|