
Fatimah (duduk, tengah) mengadakan sidang media mengenai sambutan Hari Wanita 2025 di Wisma Wanita hari ini. Turut kelihatan Rosey (duduk, dua kiri) dan Tan (duduk, dua kanan).
KUCHING: Sambutan Hari Wanita 2025 (HW25) akan diadakan di bahagian Serian iaitu di Pusat Persidangan Serian (SCC) pada 26 April depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata sambutan kali ini akan bermula jam 8.30 pagi dan turut disiarkan secara langsung melalui platform media sosial Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
"Tema Sarawak Women Creating Legacies telah dipilih tahun ini bagi menghargai jasa, sumbangan dan kejayaan wanita Sarawak dalam bidang masing-masing," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) di Wisma Wanita di sini, hari ini.
Fatimah berkata objektif sambutan HW25 ialah merai dan menghargai sumbangan wanita Sarawak ke arah pembangunan keluarga, negeri dan negara yang harmoni serta sejahtera.
Ia juga katanya bagi mengiktiraf pencapaian dan pelbagai kejayaan wanita Sarawak yang telah mengharumkan nama Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.
"Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka merasmikan HW25 dan hadir sama Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang.
"Seramai 800 orang akan hadir secara fizikal terdiri daripada Timbalan Premier dan isteri, menteri dan timbalan menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Residen, Datuk Bandar, ketua-ketua jabatan, ahli Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak, rakan strategik kementerian dan ahli pertubuhan bukan kerajaan," katanya.
Manakala 1,000 pautan melalui aplikasi Zoom mewakili wanita dari 45 jabatan daerah seluruh negeri, penjawat awam Sarawak dan ahli-ahli pertubuhan wanita Sarawak, tambahnya.
Pada HW25 juga katanya, tujuh Anugerah Tokoh Wanita iaitu Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib, Anugerah Premier Sarawak Kepimpinan Wanita, Anugerah Premier Sarawak Keusahawanan Wanita, Anugerah Premier Sarawak Penggiat Sosial Wanita, Anugerah Premier Sarawak Pencapaian Khas, Anugerah Premier Sarawak NGO Cemerlang dan Anugerah Premier Sarawak Pemimpin Muda.
"HW25 akan mengumumkan penerima Anugerah Khas Premier Sarawak Tokoh Lelaki. Ini adalah anugerah baharu diperkenalkan tahun ini," katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus dan Ex-Officio MKWS Datu Felicia Tan serta ahli MWKS yang lain.
|