
MIRI: Seorang wanita didenda 2,500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan bermain judi dalam talian di tempat awam.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Ashok Linggam setelah tertuduh, Zaharah Sahari, 44, dari Kampung Lembah Hijau, Jalan Riam di sini membuat pengakuan bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan dan semua peralatan atau perkakas yang disita di bawah seksyen ini boleh diisytiharkan oleh mahkamah untuk dilucuthakkan kepada kerajaan serta diuruskan dengan sewajarnya.
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah bermain judi jenis judi dalam talian di tempat awam.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.45 petang, 15 Februari lalu di sebuah lot di Jalan Pasar Lutong di sini.
Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
|