CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 30750|Reply: 0

[Sarawak] 17 April tentukan Mahkamah Syariah atau Sivil

[Copy link]
Post time 18-2-2025 03:07 PM | Show all posts |Read mode
Tarikh tentukan bidang kuasa mahkamah mana untuk kes saman sivil anak-anak Tun Taib terhadap Ragad



Chong (kanan) semasa berada di lobi kompleks Mahkamah Kuching hari ini.

KUCHING: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 17 April untuk menentukan sama ada kes saman sivil anak-anak Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud terhadap Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib dan RHB Investment Bank Berhad terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil.

Tan Kee Heng, peguam mewakili RHB Investment Bank Berhad (defendan kedua) menekankan bahawa mahkamah perlu menggunakan pendekatan berdasarkan perkara yang dipertikaikan (subject matter approach) untuk menentukan bidang kuasa yang sesuai.

Beliau menegaskan bahawa tuntutan plaintif (Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib dan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib) dalam kes ini berasaskan hak mereka sebagai benefisiari serta hak warisan dalam harta pusaka si mati yang merupakan seorang Muslim dan meninggal dunia tanpa wasiat.

Oleh itu menurutnya, kes ini tertakluk di bawah Seksyen 10(3) (b)(viii) dan (ix) Ordinan Mahkamah Syariah 2001 Sarawak, yang berkaitan dengan pembahagian serta hak ke atas harta pusaka si mati dan dengan itu bidang kuasa adalah milik Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun, peguam plaintif, Alvin Chong menegaskan bahawa hujah pihak defendan tidak tepat.

Menurutnya, tuntutan plaintif adalah berkaitan pemindahan saham dalam harta pusaka Allahyarham Lejla Taib yang dikata dilakukan secara tidak sah kepada pihak ketiga yang bukan benefisiari, iaitu defendan pertama.

“Subjek utama tuntutan plaintif bergantung kepada isu ekuiti dan amanah. Amanah utama adalah amanah memegang saham dalam harta pusaka, di mana benefisiari yang berhak sepatutnya menerimanya,” katanya semasa prosiding.

Chong turut merujuk kepada keputusan kes terdahulu yang menyatakan bahawa dalam situasi sekiranya terdapat pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, Mahkamah Tinggi harus diberi keutamaan kerana ia merupakan mahkamah lebih tinggi sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bukan kes di mana pihak-pihak beragama Islam hadir di Mahkamah Sivil dan membangkitkan isu berkaitan prinsip Syariah, lalu secara automatik kes itu mesti didengar di Mahkamah Syariah.

“Di Sarawak, bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah dikawal oleh Seksyen 10 Ordinan Mahkamah Syariah 2001. Seksyen 10(3)(b) dan semua perkara yang disenaraikan tidak termasuk perkara berkaitan amanah (trust) dan ekuiti, yang boleh diputuskan di Mahkamah Syariah,” katanya.

Selain itu, Chong menegaskan bahawa Mahkamah Syariah hanya boleh mendengar kes yang melibatkan pihak-pihak beragama Islam, sedangkan dalam kes ini, bukan semua pihak adalah Muslim.

Sehubungan itu, beliau berhujah bahawa kes ini harus didengar di Mahkamah Sivil.

“Kes plaintif adalah jelas dan mudah – saham yang merupakan sebahagian daripada harta pusaka Allahyarhamah ibu mereka telah dipindahkan secara tidak sah kepada pihak ketiga yang bukan benefisiari. Oleh itu, mereka berusaha untuk melindungi saham tersebut dan mendapatkan pemulangan saham itu ke dalam harta pusaka Allahyarhamah ibu mereka,” katanya.

Hakim Alexander Siew How Wai kemudiannya menetapkan 17 April 2025 sebagai tarikh keputusan bagi menentukan bidang kuasa yang sesuai untuk kes ini.

Ragad disaman oleh anak-anak tirinya yang memohon injunksi mahkamah untuk menghentikan pemindahan saham daripada syarikat kepada Ragad.

Mereka menamakan Ragad sebagai defendan pertama dan RHB Investment Bank Berhad sebagai defendan kedua dalam kes itu.

Selain Yong, Ragad diwakili Shirleen Ong sementara defendan kedua diwakili peguam Lesley Lynn Ling.

Sulaiman dan Bekir pula diwakili peguam Jonathan Tay.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-3-2025 04:03 AM GMT+8 , Processed in 0.056405 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list