CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 30345|Reply: 0

[Sarawak] Kepercayaan asas kukuh mengikat parti politik

[Copy link]
Post time 18-2-2025 03:02 PM | Show all posts |Read mode
Tanpa kepercayaan, sesebuah parti akan mudah terdedah kepada perpecahan, kemerosotan sokongan.



Abang Johari (empat kanan) menerima cenderamata daripada Dr Sim sambil disaksikan barisan kenamaan pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran SUPP Sibu hari ini.

SIBU: Kepercayaan adalah asas kukuh yang mengikat setiap parti politik, memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan serta kejayaan sebuah organisasi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tanpa kepercayaan, sesebuah parti akan mudah terdedah kepada perpecahan dan kemerosotan sokongan.

"Betapa pentingnya nilai ini dalam mengukuhkan solidariti antara ahli dan perpaduan dalam kalangan pemimpin parti.

"Apabila seseorang memilih untuk menyertai sebuah parti, mereka bukan sahaja berkongsi platform yang sama tetapi juga matlamat yang satu untuk berkhidmat dan membawa perubahan positif kepada rakyat dan negara," katanya berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sibu yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Abang Johari memberi contoh yang jelas daripada sejarah, dengan menyebut bagaimana Parti Kongres India, meskipun lama bertapak, akhirnya mengalami kemerosotan akibat masalah dalaman dan kehilangan kepercayaan rakyat.

Keadaan ini katanya, berpotensi berlaku di Malaysia sekiranya parti tidak berjaya mengekalkan kepercayaan dan perpaduan dalaman.

"Kepercayaan adalah nadi yang menggerakkan setiap organisasi politik, tanpa itu, sebuah parti tidak dapat bertahan lama," ujar beliau.

Dalam pada itu, Abang Johari turut menekankan cabaran yang dibawa oleh perkembangan teknologi moden, terutama dalam hal propaganda digital.

Beliau memberi contoh penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang memungkinkan seseorang menampilkan wajah dan suara pemimpin, seperti yang terjadi dengan mesej Tahun Baharu Cina daripada Presiden Trump kepada rakyat Sarawak.

Ini menurutnya, adalah cabaran besar yang perlu dihadapi oleh parti-parti politik pada masa depan.

"Esok, mungkin anda akan melihat wajah saya mengenakan pakaian PBB dengan mesej negatif terhadap parti saya sendiri. Ini adalah realiti yang semakin menghampiri kita,” tegasnya.

Mengimbas kembali perjalanan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang hampir mencapai usia 70 tahun, Abang Johari menyeru agar parti-parti lama, termasuk SUPP dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), terus beradaptasi dengan perubahan politik global untuk memastikan sokongan rakyat tidak luntur.

"Sekiranya kita tidak bijak menguruskan parti, kita berisiko kehilangan kepercayaan rakyat. Latihan kepimpinan yang berkesan amat penting untuk memastikan kesinambungan kepimpinan yang mantap,” tambah beliau.

Jsuteru, beliau turut meluahkan rasa syukur atas kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mentadbir negeri dengan penuh sistematik, hasil daripada kepercayaan yang kuat bukan hanya dalam kalangan parti komponen tetapi juga antara rakyat.

"Kepercayaan dalam kalangan kita, SUPP, PBB, PDP (Parti Demokratik Progresif), PRS (Parti Rakyat Sarawak), adalah asas kepada kejayaan GPS. Kita harus sentiasa bekerjasama dan pastikan kerajaan kita terus kukuh untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat," katanya.

Abang Johari mengingatkan bahawa kepentingan menjaga kepercayaan dalam kalangan pemimpin dan parti politik sangat kritikal dalam memastikan kestabilan politik dan kemakmuran negeri.

"Jangan sesekali bercakap berbeza di depan dan belakang. Kepercayaan adalah segala-galanya," tambahnya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden SUPP merangkap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta isteri Dato Enn Ong, Timbalan Presiden II SUPP merangkap Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Agung SUPP merangkap Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Sebastian Ting, Naib Presiden I SUPP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman, pengerusi pengelola majlis merangkap Ketua Pemuda SUPP Pusat Kaunselor Kevin Lau serta tetamu kehormat yang lain.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-3-2025 04:04 AM GMT+8 , Processed in 0.228296 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list