HOUSTON - Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) melaporkan perjalanan pesawat United Airlines dari Houston ke New York, Amerika Syarikat (AS) terpaksa dihentikan selepas mengalami masalah enjin sewaktu berlepas.
Jabatan Bomba Houston dalam satu kenyataan di X berkata, tiada kecederaan dilaporkan semasa mereka tiba di lokasi untuk membantu proses evakuasi penumpang dari pesawat.
Dalam pada itu, tular sebuah video yang dirakam oleh seorang penumpang menunjukkan asap dan api keluar dari sayap pesawat semasa mereka berada di Lapangan Terbang Antarabangsa George Bush Intercontinental, AS.
Menerusi video tersebut, kedengaran suara seorang pramugari cuba untuk menenangkan penumpang dan meminta mereka kekal di tempat duduk masing-masing.
Seramai 104 penumpang dan lima kru pesawat telah dievakuasi di landasan menggunakan gelongsor kecemasan dan tangga.
United Airlines telah membuat penjadualan semula untuk semua penumpang terlibat pada waktu petang. - Agensi
|