Alor Setar: Polis mengesan taktik 'scammer' menggunakan 'notis kehadiran suspek adalah wajib' sebagai helah untuk memperdaya mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Loi Yew Lik berkata, notis itu dikesan dihantar kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram.
Beliau berkata, surat notis itu kononnya dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Polis Kedah dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah supaya mangsa mempercayainya.
"Isi kandungan 'notis kehadiran suspek adalah wajib' itu dikeluarkan dengan memaklumkan mangsa terbabit dengan satu kes penyeludupan dadah dan penggelapan wang.
"Kononnya arahan tindakan akan dilakukan sekiranya mangsa tidak memberi kerjasama dalam tempoh dua jam dan pihak polis akan mengeluarkan waran tangkap serta tahanan reman selama 45 hari.
"Akaun bank yang didaftarkan atas nama mangsa juga akan dibekukan sita malah mangsa juga tidak dibenarkan menceritakan kes itu kepada sesiapa kerana ia membabitkan Akta Rahsia Rasmi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Loi berkata, pihaknya menafikan kewujudan notis berkenaan dikeluarkan oleh IPK Kedah dan ia sama sekali tidak benar.
Beliau berkata, notis itu adalah palsu dan ia salah satu modus operandi penipuan.