Anggota APM Selangau menjalankan pemantauan banjir di kawasan rendah Selangau yang dinaiki air antara 0.34 hingga 0.67 meter pagi tadi.
SELANGAU: Hujan lebat yang melanda kawasan Selangau telah menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar Batang Oya dinaiki air.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangau segera bertindak melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berisiko.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Selangau Leftenan (PA) Luke Douglas Dongum berkata, hasil tinjauan pagi tadi mendapati beberapa kawasan rendah seperti Rumah Harisson, Rumah Mambang dan Rumah Dusin telah dinaiki air dengan paras antara 0.34 hingga 0.67 meter.
Jalan Sepapa masih boleh dilalui, namun Jalan Tabau menuju ke Nanga Tajam dan Jalan Ensurai ke Nanga Tamin tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.
"Kami mendapati penduduk di hilir Batang Oya terpaksa menggunakan sampan sebagai pengangkutan alternatif ke pekan Stapang.
"Walau bagaimanapun, rumah panjang, sekolah, dan klinik di kawasan ini tidak terjejas, dan situasi keseluruhan masih terkawal," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pemantauan tersebut melibatkan seorang pegawai, empat anggota serta penggunaan logistik seperti lori, jaket keselamatan dan alat penyukat air.
"Penduduk dinasihatkan supaya berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya situasi banjir bertambah buruk," tambah beliau
|