Anggota bomba dari BBP Kanowit melakukan pemantauan disalah satu jalan yang terjejas di daerah itu.
KANOWIT: Beberapa jalan utama di Kanowit terjejas akibat fenomena air pasang pagi ini, dengan paras air meningkat antara 0.5 hingga 1 kaki.
Jalan yang terjejas termasuk Jalan Sungai Angkong, Jalan Sungai Pak dan Jalan Lukut/Penyulau.
Keadaan ini menyebabkan hanya kenderaan berat yang dapat melaluinya.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Zon Sibu Andy Alie berkata, pasukan pemantauan BBP Kanowit yang melakukan rondaan dari jam 7.00 pagi hingga 7.20 pagi mendapati trend air yang terus naik dan berisiko menyebabkan banjir lebih teruk terutamanya jika hujan berterusan.
"Keadaan cuaca yang hujan renyai menambah kebimbangan terhadap risiko banjir. Jika hujan berterusan, paras air dijangka terus meningkat yang boleh memperburuk keadaan banjir.
"Pihak berkuasa mengingatkan penduduk untuk berhati-hati dan memantau keadaan cuaca dengan teliti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, penduduk dinasihatkan untuk mengelakkan perjalanan di jalan-jalan terjejas jika tidak perlu, kerana ia berisiko menjadi lebih bahaya.
Katanya, pihak berkuasa akan terus memantau situasi dan memberi maklumat terkini.
|