Iskandar (duduk tengah) bersama Syahrul (dua kiri), pegawai-pegawai dan pelajar baharu ADTEC Bintulu merakam gambar kenangan.
BINTULU: Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri yang berkembang pesat di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, Sarawak memerlukan tenaga kerja yang kompeten, kreatif dan inovatif yang mana ADTEC memain peranan penting dalam menyediakan latihan ke arah itu membabitkan teknikal dan vokasional bertaraf tinggi.
Katanya, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional(TVET) seperti ADTEC Bintulu merupakan tulang belakang kepada pembangunan Sarawak.
"Sarawak kini berada di landasan tepat untuk menjadi negeri maju, dengan memfokuskan kepada beberapa sektor strategik," katanya pada perasmian Majlis Penutupan Minggu Silaturahim Sesi 1/2025 di ADTEC Bintulu pada Rabu.
Beliau berkata, sektor strategik itu antara lainnya membabitkan teknologi hijau, minyak dan gas, pembuatan moden dan tenaga boleh diperbaharui.
Sementara itu, Pengarah ADTEC Bintulu, Syahrul Nizam Perdan berkata, Minggu Silaturahim menjadi platform penting untuk pelajar baharu memahami budaya, nilai dan visi institusi tersebut.
Katanya, dengan pendaftaran 90 pelajar baharu bagi sesi 1/2025, ADTEC Bintulu terus komited mendukung Sarawak menuju visi tahun 2030.
|