Edited by Vellfire at 27-1-2025 03:27 AM
SK Rumah Tayai dilanda banjir dengan kedalaman mencapai sehingga 10 kaki.
SELANGAU: Paras air yang meningkat mendadak sejak semalam telah menyebabkan beberapa kawasan di Sekolah Kebangsaan (SK) Rumah Tayai dilanda banjir dengan kedalaman mencapai sehingga 10 kaki.
Walaupun keadaan masih terkawal, pihak sekolah dan kakitangan terus berwaspada terhadap peningkatan paras air yang dijangka akan mencapai paras tertinggi sejak 2018, iaitu sekitar 12 kaki.
Menurut laporan daripada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, banjir telah menenggelamkan lantai dewan makan, asrama perempuan, semua bilik kelas, prasekolah dan tandas dengan kedalaman air antara 1 hingga 2 kaki.
Paras air naik mendadak sejak semalam, menenggelamkan beberapa kawasan sekolah,
"Setakat ini, laluan ke sekolah masih boleh diakses. Namun, Jambatan Sungai Sidang telah mula ditenggelami air sedalam 1 kaki, yang menyukarkan pergerakan melalui jalan darat.
"Keadaan cuaca yang mendung dan hujan berterusan menambah cabaran kepada pihak pengurusan sekolah," kata kenyataan itu.
Pada masa kejadian, sekolah tersebut tidak mempunyai murid harian dan asrama serta prasekolah tidak beroperasi kerana cuti persekolahan.
Bagaimanapun, Guru Besar bersama lapan anggota kakitangan pentadbiran dan tujuh pekerja swasta masih berada di sekolah untuk memastikan keselamatan aset dan bangunan.
Banjir kali ini adalah yang terburuk sejak 2018.
|