Lee mengadakan perbincangan bersama rombongan pelawat yang diketuai Sheikh Abdul Mahdani.
MIRI: Isu kenderaan beratur panjang di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh perlu diselesaikan agar tidak terus menjejaskan penduduk tempatan dan pelancong.
Ia merupakan antara perkara yang dipersetujui oleh Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin dan Konsul Jeneral Brunei ke Sarawak Sheikh Abdul Mahdani Dato Paduka Sheikh Abdul Ghani ketika pertemuan mereka pada Rabu.
"Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan RM4 juta untuk menaik taraf kemudahan di ICQS Sungai Tujoh.
"Naik taraf ini termasuk penambahan empat lorong baharu untuk menambah baik aliran trafik, dengan lorong sedia ada dikhaskan untuk kenderaan Brunei dan asing, manakala baki lorong dikhaskan untuk kenderaan tempatan," kata Lee dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat daripada Sheikh Abdul Mahdani di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur di sini.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak membincangkan perjalanan rentas sempadan, terutamanya mengenai pengangkutan dan logistik, dengan tumpuan khusus kepada operasi ICQS Sungai Tujoh.
Perbincangan tertumpu kepada pengukuhan kerjasama untuk mengurangkan masa menunggu yang lama yang sering dihadapi oleh pengembara terutamanya pada hujung minggu, cuti umum dan majlis-majlis perayaan.
Lee turut menekankan kepentingan menaik taraf ICQS Sungai Tujoh untuk menempatkan lori yang melakukan perjalanan setiap hari antara Sarawak dan Brunei dan mereka yang melalui Brunei dari Limbang, Lawas dan Sabah.
Terdapat juga perkhidmatan bas harian antara Pontianak, Indonesia dan Bandar Seri Begawan, Brunei melalui ICQS di Sungai Tujoh, jelasnya.
Sementara itu, Sheikh Abdul Mahdani berkata, beliau akan membantu mengatur pertemuan antara Lee dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi Brunei mengenai isu pengangkutan dan logistik yang melibatkan Sarawak dan Brunei.
Sheikh Abdul Mahdani turut berkongsi ramai rakyat Brunei melancong ke Sarawak melalui darat, bukan sahaja ke Miri dan kawasan sekitarnya malah sehingga ke Teluk Melano.
Beliau turut memuji infrastruktur jalan raya Sarawak yang diselenggara dengan baik, yang menjadi tarikan utama bagi rakyat Brunei yang memulakan perjalanan jalan raya.
Beliau juga menekankan semakin ramai pelancong antarabangsa, khususnya dari China, menggunakan ICQS Sungai Tujoh untuk menyeberang ke kedua-dua negara dan meneroka pulau Borneo.
|