BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming (gambar) menyatakan kebimbangan yang kuat susulan satu lagi letupan berlaku di sebuah kilang di Taman Perindustrian Samalaju.
Justeru katanya, beliau menggesa pihak berkuasa berkenaan mengambil tindakan segera dengan menjalankan semakan menyeluruh terhadap standard keselamatan kilang bagi mengelak tragedi seumpama itu berulang.
"Tahun 2025 baru sahaja bermula, namun kita sudah menyaksikan satu lagi letupan kilang.
"Ini mengejutkan dan tidak boleh diterima.
"Insiden itu jelas menyerlahkan kegagalan syarikat untuk belajar daripada insiden lepas," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Tegasnya, kebimbangan keselamatan di Taman Perindustrian Samalaju telah lama menjadi isu mendesak bagi penduduk setempat.
Beliau menyatakan, beberapa letupan berlaku tahun lepas mengakibatkan kehilangan tragik nyawa pekerja kilang yang amat menyedihkan.
"Tragedi ini tidak sepatutnya berlaku lagi.
"Bagaimanapun, ia nampaknya telah menjadi isu berulang, yang amat membimbangkan," katanya.
Beliau menggesa syarikat untuk mengutamakan keselamatan di tempat kerja, sekali gus mencadangkan melaksanakan protokol keselamatan dan langkah kawal selia yang lebih ketat.
Katanya, syarikat mesti proaktif menjalankan penilaian risiko, mengekalkan kewaspadaan dalam mengendalikan bahan berbahaya dan memastikan pemantauan keselamatan berterusan.
Ujarnya, langkah-langkah ini amat penting dalam mencegah kejadian serupa pada masa hadapan.
"Setiap pekerja adalah aset paling berharga bagi sesebuah syarikat.
"Majikan mempunyai tanggungjawab untuk meletakkan keselamatan pekerja mereka sebagai keutamaan.
"Tambahan pula, syarikat juga perlu mempertimbangkan kesan yang lebih meluas daripada kejadian seumpama itu terhadap alam sekitar dan keselamatan penduduk Bintulu," tegasnya.
"Setiap letupan bukan sahaja menyebabkan kerosakan di dalam kilang tetapi juga menimbulkan risiko besar kepada masyarakat sekeliling.
"Tahap ini sememangnya tidak boleh diterima," tegasnya.
Pang mendedahkan ramai penduduk meluahkan kerisauan mereka berikutan kejadian itu.
Beliau menambah, aduan ini bertindak sebagai amaran tentang keselamatan industri dan tindakan mengabaikannya akan membawa kepada malapetaka yang teruk.
Katanya, beliau secara peribadi menghubungi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) untuk bertanyakan mengenai situasi tersebut.
Beliau memberi jaminan kepada orang ramai bahawa beliau akan terus membuat tindakan susulan mengenai perkara itu termasuk meminta laporan terperinci daripada syarikat berhubung kejadian itu dan menggesa agensi kerajaan berkaitan menjalankan penilaian risiko keselamatan secara menyeluruh terhadap kilang itu.
"Kita tidak boleh biarkan kejadian sebegini terus berlaku.
"Syarikat mesti mematuhi piawaian keselamatan tertinggi untuk memastikan kesejahteraan pekerja dan menyediakan penduduk dengan persekitaran hidup yang selamat," katanya.
|