Hong Kong: Siasatan ke atas insiden 43 penumpang penerbangan Cathay Pacific Airways dari Kathmandu, Nepal, yang jatuh sakit mendapati, kesemua mereka mengalami keracunan makanan akibat salad ubi bit (beetroot) tercemar bakteria Staphylococcus aureus.
Pusat Perlindungan Kesihatan (CHP) dilapor semalam berkata, penumpang yang berumur antara 11 hingga 75 tahun itu mengalami simptom seperti muntah, loya, sakit perut dan cirit-birit selepas menikmati hidangan dalam penerbangan pada 8 dan 9 Januari lalu.
Hasil ujian sampel najis daripada dua penumpang mengesahkan kehadiran Staphylococcus aureus, konsisten dengan simptom klinikal serta tempoh pengeraman bakteria yang lazim menyebabkan keracunan makanan.
CHP berjaya menghubungi 120 penumpang melalui temu bual dan panggilan telefon untuk penilaian epidemiologi menyeluruh.
Kajian kes mendapati semua 43 mangsa memakan makanan yang disediakan dalam penerbangan dengan ubi bit dikenal pasti sebagai punca utama keracunan makanan.
Daripada kira-kira 500 hidangan yang disediakan, CHP mengumpul sampel ubi bit yang tidak diedarkan untuk ujian makmal.
Walaupun tahap Staphylococcus aureus dalam sampel tidak melebihi standard keselamatan makanan, hidangan itu secara eksklusif dibekalkan kepada penerbangan Cathay Pacific dari Kathmandu sejak Januari.
Berikutan insiden, CHP melakukan dua pemeriksaan ke atas kilang penyedia makanan berkenaan dan beberapa langkah pengendalian manual dikenal pasti sebagai berpotensi meningkatkan risiko pencemaran.
Pada 10 Januari, CHP mengarahkan kilang itu menghentikan pembekalan ubi bit dan susulan langkah itu, tiada lagi laporan keracunan makanan diterima.
Bagi mencegah kejadian sama berulang, CHP mengarahkan kilang penyedia makanan untuk mengurangkan pengendalian manual dan menggunakan peralatan khas bagi mengelakkan sentuhan langsung terhadap makanan.
Protokol kebersihan tangan juga diperketatkan, terutama semasa proses yang tidak membabitkan pemanasan makanan.
Dalam kenyataan kepada media, Cathay Pacific mengesahkan hasil penemuan CHP itu dan menegaskan komitmen mereka terhadap keselamatan makanan.
Pihak syarikat sudah menghentikan hidangan ubi bit dalam semua penerbangan dan melaksanakan langkah tambahan bagi meningkatkan tahap kebersihan makanan berdasarkan saranan CHP.
Cathay Pacific turut menjelaskan bahawa tiada laporan keracunan makanan lain sejak insiden itu dan ubi bit tidak lagi menjadi menu dalam mana-mana penerbangan mereka.
Disiarkan pada: Januari 25, 2025
|