Pelabuhan Jepun itu jadi contoh pelabuhan laut dalam baharu yang akan dibina di Tanjung Embang
Abang Johari ketika ditemui media selepas melancarkan Program GETS-WRP hari ini. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Kerajaan Sarawak menjadikan Pelabuhan Kobe di Jepun sebagai model contoh untuk melaksanakan projek pelabuhan laut dalam baharu yang akan dibina di Tanjung Embang.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia dijadikan inspirasi dalam usaha menangani isu perairan cetek di kawasan berkenaan.
“Justeru, kita jadikan Pelabuhan Kobe sebagai model. Kalau kita nak kapal besar (pergi ke pelabuhan kita), kedalaman laut mesti cukup dalam untuk mereka.
“Maka, itu sebabnya kita membina pelabuhan lebih jauh di laut,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak - Program Kesediaan Bekerja (GETS-WRP) di sini, hari ini.
Abang Johari menegaskan bahawa projek sebegini juga memerlukan kreativiti dan inovasi sama ada dalam reka bentuk atau pelaksanaan.
“Kita mungkin tidak membayangkan sebuah pelabuhan di tengah laut tetapi dengan teknologi, ia boleh dilaksanakan. Ini bermakna jurutera kita perlu kreatif.
“Mereka mesti berfikir secara kreatif tentang cara membina pelabuhan di laut, supaya kapal besar boleh masuk. Sama ada untuk ‘bunkering’, bekalan minyak dan sebagainya,” ujar beliau.
Dalam perkara berlainan, Abang Johari yakin Sarawak suatu hari nanti boleh menjadi pengeluar kulit yang dihasilkan daripada sumber gas milik negeri ini.
Teknologi itu katanya, membuka peluang besar untuk memajukan ekonomi Sarawak dengan menerapkan inovasi mesra alam dan berdaya saing, menjadikan gas sebagai sumber bahan bernilai tinggi.
"Saya terkejut dan teruja melihat potensi besar teknologi ini yang sangat luar biasa. Kulit ini dapat dihasilkan melalui proses kimia yang dikenali sebagai 'cracking', yang mana gas etilena ditukarkan menjadi bahan kulit tanpa melibatkan haiwan.
"Jika kita dapat memanfaatkan gas kita untuk menghasilkan produk seperti kulit daripada gas ini, ekonomi Sarawak akan berkembang pesat.
“Ini akan memberi impak yang besar terhadap pendapatan rakyat kerana produk inovatif seperti ini bernilai tinggi," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap Sarawak dapat menghasilkan graduan yang memiliki kepakaran serta dapat membangunkan sektor baharu itu sebagai sumber pendapatan lain bagi negeri ini.
|