Fatimah bersama penerima bantuan sempena Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina.
KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan kenaikan kadar bantuan bencana yang diagihkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak bagi meringankan beban rakyat yang terkesan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah ketika mengumumkan perkara itu berkata, bantuan itu diberikan sebagai sokongan kewangan bagi membantu mangsa meneruskan kehidupan seharian dan memenuhi keperluan asas bagi mempercepatkan proses pemulihan pascabencana.
“Langkah ini juga menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kestabilan serta kesejahteraan rakyat melalui tindakan proaktif dan berkesan yang menyumbang kepada kelestarian sosioekonomi.
“Antara kenaikan kadar baharu adalah bagi bekalan makanan peringkat awal iaitu secara 'one -off' (kecuali mangsa bencana kemarau) yang diselaraskan pada kadar RM75 untuk satu pek bagi bilangan isi rumah satu hingga lima orang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina Bahagian Kuching di sini, hari ini.
Fatimah (belakang, empat kiri) merakamkan kenangan bersama sebahagian penerima sumbangan pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina di Kuching, hari ini.
Sementara itu katanya, bantuan segera secara 'one-off' merangkumi wang saku pada kadar RM100 dinaikkan kepada kadar baharu RM200 seorang, pakaian harian pada kadar RM200 dinaikkan kepada kadar baharu RM300 seorang, makanan kering pada kadar RM50 dinaikkan kepada kadar baharu RM100 seorang dan kelengkapan pada kadar RM100 dinaikkan kepada kadar baharu RM200 seorang.
Fatimah berkata, bantuan persekolahan secara 'one-off' merangkumi pakaian sekolah (pakaian seragam dan kasut) pada kadar RM200 pula dinaikkan kepada kadar baharu RM300 seorang dan peralatan sekolah (beg dan alat tulis) pada kadar RM100 dinaikkan kepada kadar baharu RM200 seorang.
“Untuk bantuan peralatan dapur secara 'one-off' pada kadar RM700, dinaikkan kepada kadar baharu RM1,000 bagi satu rumah.
“Bantuan perlindungan secara 'one-off untuk membeli bahan binaan kediaman sementara atau sewaan rumah pada kadar maksimum RM5,000, dinaikkan kepada kadar baharu RM10,000 bagi sebuah rumah,” jelasnya.
Beliau berkata, pemberian kadar bantuan adalah tertakluk kepada peratus kerosakan, dengan bantuan minimum sebanyak RM1,000, RM2,500 untuk 25 peratus kerosakan, RM5,000 untuk 50 peratus kerosakan, RM7,500 untuk 75 peratus kerosakan dan RM10,000 untuk 100 peratus musnah.
Manakala, bagi bantuan makanan harian di pusat pemindahan sementara (PPS) sama ada disediakan secara makanan bungkus atau catuan makanan untuk dimasak yang disediakan pada kadar RM25, dinaikkan kepada kadar baharu RM50 seorang/sehari, tambahnya.
“Bagi bantuan kepada mangsa yang terputus hubungan (makanan kering) pada kadar RM50 pula, ia dinaikkan kepada kadar baharu RM100 untuk satu pek seorang untuk tempoh seminggu secara 'one-off' sahaja untuk mangsa kebakaran, ribut, tanah runtuh dan lain-lain bencana kecuali kemarau,” ujarnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Fatimah berkata, pada tahun ini seramai 3,081 orang yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) daripada 10,535 penerima jumlah keseluruhan penerima bantuan bulanan kebajikan adalah di Kuching.
Pada majlis hari ini katanya, seramai 150 penerima dijemput hadir bagi menerima sumbangan wang tunai bernilai RM100 berserta hamper barangan makanan bernilai RM80.
|