KUCHING: Lapan maut akibat rabies di Sarawak pada tahun 2024, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Katanya, menurut Jabatan Kesihatan Negeri, di Sarawak jumlah kumulatif kes rabies manusia kini berjumlah 83 dengan 76 kematian sejak Julai 2017 termasuk lapan kematian pada 2024.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila berurusan dengan haiwan terbiar dan dapatkan rawatan segera di klinik berhampiran jika digigit haiwan.
“Pemilik anjing bertanggungjawab untuk memastikan haiwan peliharaan mereka divaksinasi terhadap rabies, mikrocip dan dikebiri,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata pada 2024, 123 rabies haiwan disahkan positif daripada 889 sampel yang dikumpul di Sarawak.
Katanya pecahan positif rabies haiwan adalah di Kuching 79, Bintulu (16), Samarahan (10), Serian (6), Sri Aman (4), Kapit (4) danMukah (4).
“Selain itu, tiga kes positif rabies melibatkan kucing dan anjing dilaporkan di bahagian Kuching dan Samarahan antara 6 dan 19 Januari tahun ini. Haiwan positif itu dikenal pasti sebagai haiwan peliharaan berkeliaran bebas.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) bersama Immune Belt Enforcement Team (IBET) dari Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) telah mempergiatkan program vaksinasi anti-rabies di seluruh Sarawak,” katanya.
Malahan beliau hari ini turut menandatangani perintah vaksinasi anti-rabies di bawah Seksyen 40(1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 (VPHO 1999), yang mewajibkan semua anjing di negeri ini menjalani vaksinasi anti-rabies dan menerima penggalak tahunan.
Katanya, pemilik anjing bertanggungjawab untuk memastikan haiwan peliharaan mereka diberi vaksin.
Kegagalan untuk mematuhi keperluan ini akan menyebabkan kesalahan boleh didenda sehingga RM 2,500.
Katanya selain itu, anjing yang terdedah kepada rabies yang tidak mempunyai dokumentasi vaksinasi yang betul akan dimatikan.
“Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Kapit, Mukah dan Bintulu (7) telah diisytiharkan sebagai Bahagian dijangkiti rabies berikutan kes positif rabies haiwan baharu dikesan termasuk 21 kawasan yang diisytiharkan sebelum ini.
“Pengisytiharan ini adalah perlu bagi memastikan lebih banyak usaha diambil oleh bahagian berkenaan,” katanya.
Tambah Dr Rundi, orang ramai boleh mendapatkan vaksin anti-rabies anjing percuma di mana-mana pejabat veterinar kerajaan pada waktu pejabat dan vaksinasi beramai-ramai yang akan diumumkan dari semasa ke semasa di akaun FB rasmi JPVS Sarawak mereka.
Klinik veterinar swasta juga menyediakan vaksin dan penjagaan kesihatan untuk haiwan kesayangan mereka, ujarnya.
Beliau menegaskan, pemilik anjing juga dikehendaki memohon lesen dan mikrocip daripada PBT masing-masing dan kegagalan mendapatkan lesen anjing adalah satu kesalahan dan boleh didenda sehingga RM5,000di bawah Seksyen 3 oleh PBT.
PBT boleh menyita mana-mana anjing yang tidak diikat mengikut undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Pelesenan dan Kawalan Anjing), 2018 dan pemilik didenda sebanyak RM2,000.
|