PERJANJIAN: Shahelmey (tiga kanan) bersama tetamu jemputan lain menyaksikan wakil LPPS, SOGDC dan SOGIP Port menunjukkan dokumen Perjanjian Konsesi Pelabuhan yang ditandatangani sempena majlis Pengisytiharan Rasmi Pelabuhan SOGIP hari ini.
KOTA KINABALU: Pengisytiharan Pelabuhan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) di daerah Sipitang adalah satu langkah strategik membawa potensi luar biasa kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diilhamkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam usaha mengukuhkan pembangunan ekonomi dan infrastruktur Sabah.
Katanya, manfaat ekonomi kawasan berkenaan amat jelas kerana kedudukannya yang strategik di pantai barat Sabah menghadap Laut China Selatan menjadikan Sipitang sebagai pintu gerbang baharu untuk perdagangan maritim di rantau ini.
Menurutnya, pelabuhan baharu itu juga akan memberikan dorongan besar kepada pelbagai sektor ekonomi tempatan, termasuk pengangkutan, perkapalan, dan perkhidmatan logistik.
"Pelabuhan ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu bagi penduduk tempatan, meningkatkan pendapatan isi rumah, dan mendorong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
"Sebagai kawasan pelabuhan baharu, Sipitang tidak hanya meningkatkan kapasiti negeri untuk mengendali penghantaran dan penerimaan barang-barang antarabangsa, tetapi juga memperluaskan aksesibiliti perniagaan ke pasaran global.
"Ini adalah langkah penting dalam mengukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dengan negara-negara jiran dan serantau.
"Kita yakin pertumbuhan perdagangan bilateral dan multilateral ini akan meningkat dengan ketara," katanya ketika berucap pada majlis Pengisytiharan Rasmi Pelabuhan SOGIP di sini hari ini.
Beliau turut mewakili Ketua Menteri bagi menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Pelabuhan di antara Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS), Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) Sdn Bhd dan SOGIP Port Sdn Bhd.
Shahelmey berkata, dengan adanya sebuah pelabuhan baharu di Sipitang, ia tidak hanya menyediakan kemudahan pengendalian barang yang lebih efisien tetapi juga mempertingkatkan rantaian bekalan logistik negeri.
Menurutnya, dengan infrastruktur yang tersedia, Sipitang akan menjadi pusat logistik yang penting di rantau ini, sekali gus menyokong aktiviti perdagangan dan perindustrian dengan lebih baik.
"Pelabuhan SOGIP di Sipitang bukan hanya sekadar sebuah projek infrastruktur, tetapi ia adalah simbol harapan dan peluang untuk masa depan yang lebih gemilang bagi Sabah.
"Dengan pengisytiharan ini, kita membuka lembaran baharu dengan menjadikannya lebih terserlah sebagai hab logistik dan perdagangan utama di rantau ini.
"Pelabuhan ini akan memberikan impak yang amat besar, bukan hanya kepada daerah Sipitang, tetapi juga kepada ekonomi negeri secara keseluruhan," jelasnya.
Selain itu katanya, pelabuhan berkenaan akan membawa pelbagai peluang pekerjaan, meningkatkan sektor perniagaan tempatan, serta memperkukuh lagi industri minyak dan gas yang sekian lama menjadi tunggak utama ekonomi negeri.
Melalui kemudahan moden yang akan disediakan, pihaknya yakin projek ini akan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai pemain penting dalam arena perdagangan antarabangsa dan logistik, serta mempercepatkan integrasi dengan ekonomi global.
"Saya percaya projek Pelabuhan SOGIP ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kawasan sekitar, tetapi ia akan menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi yang lebih lestari dan seimbang di seluruh Sabah.
"Dengan adanya pelabuhan ini, kita membuka lebih banyak peluang untuk meningkatkan eksport, menarik lebih banyak pelaburan asing, dan menjadikan Sabah sebagai destinasi utama dalam sektor perdagangan, pelabuhan, serta perkapalan antarabangsa khususnya di daerah Sipitang," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi SOGIP Port Sdn Bhd merangkap Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC Datuk Harun Ismail berkata, Pelabuhan SOGIP dijangka beroperasi sepenuhnya melibatkan kesemua jeti dalam jangka masa tiga hingga empat tahun akan datang.
Bagaimanapun katanya, beberapa jeti termasuk jeti kilang Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) sudah mula beroperasi memandangkan ia berada di dalam kawasan Pelabuhan SOGIP.
Beliau juga yakin Pelabuhan SOGIP mampu menjadi pelabuhan terbesar di negeri ini berdasarkan unjuran yang pihaknya terima daripada industri dari segi jumlah urus niaga, import dan eksport.
|