RAMPAS: Semua kru bot dan barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot kargo disyaki melanggar syarat sah membawa muatan petroleum di kedudukan 0.7 batu nautika selatan Jeti Kastam Tawau, Isnin lepas.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris mengesan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pasukan bot ronda Maritim Malaysia terus diatur gerak untuk menjalankan operasi menahan bot berkenaan.
Katanya, bot berkenaan dikesan sarat dengan muatan bahan jenis petrol, diesel dan gas cecair (LPG) dari perairan Tanjung Batu menuju ke Pulau Sebatik.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot kargo berkenaan dikendalikan oleh tiga lelaki warga tempatan berusia 33 hingga 45 tahun.
“Pemeriksaan lanjut pula, menemukan beberapa tong mengandungi petrol dan diesel dianggarkan kira-kira 10,600 liter serta 411 tong gas LPG,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, bot kargo yang merupakan pembekal barangan bersubsidi ke Pulau Sebatik itu turut didapati melanggar peraturan ketika membawa petroleum dan tong gas LPG dengan mengabaikan aspek keselamatan.
Katanya, aspek keselamatan juga perlu dititik beratkan oleh pengusaha bot terutamanya ketika membawa muatan yang berbahaya seperti petroleum bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
“Bot kargo itu kemudian diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Akta Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
“Nilai rampasan termasuk minyak petrol, diesel, tong gas LPG dan bot kargo berkenaan dianggarkan berjumlah kira-kira RM136,000,” katanya.
Shahrizan berkata, sekiranya terdapat sebarang salah laku jenayah berlaku di sekitar perairan Tawau, orang ramai diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 dan talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.
https://www.utusanborneo.com.my/2025/01/23/bot-kargo-bawa-muatan-petroleum-ditahan
|