MAUT: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu memotong dahan berkenaan.
SANDAKAN: Seorang pelancong warga China maut selepas dihempap dahan pokok besar di Rainforest Discovery Centre (RDC), di sini petang tadi.
Mangsa lelaki berusia 74 tahun itu cedera di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess Of Kent (HDOK).
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata hasil siasatan awal kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.45 petang tadi.
Katanya, mangsa bersama empat ahli keluarganya sedang bercuti di negeri ini dan mengunjungi pusat pelancongan di RDC Sandakan.
“Sebaik dalam perjalanan keluar dari RDC Sandakan, mangsa dikatakan dihempap dahan sebatang pokok besar dan mengalami kecederaan di bahagian kepala.
“Mangsa kemudian dibawa ke Unit Kecemasan HDOK untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.28 petang tadi,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Abdul Fuad berkata, kes berkenaan diklasifikasikan dan disiasat sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
“Mayat mangsa kini berada Unit Forensik HDOK untuk proses bedah siasat yang akan dijalankan pada esok jam 2 petang,” katanya.
|