AMANAT: Ewon (dua kiri) bersama tetamu jemputan lain sempena Majlis Amanat Warga KUSKOP 2025 di Kuala Lumpur.
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berjaya melaksanakan sebanyak 204 program dan menyalurkan pembiayaan sebanyak RM9.58 bilion sepanjang 2024.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kesemua program yang dilaksanakan itu memberi manfaat hampir 800,000 usahawan, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), koperasi, perusahaan sosial, penjaja dan peniaga kecil serta usahawan informal.
Katanya, dari segi pembiayaan pula, seramai 333,653 usahawan dan koperasi mendapat bantuan pembiayaan termasuk pembiayaan mikro-kredit dan geran keusahawanan serta pinjaman mudah melibatkan pembiayaan berjumlah RM9.58 bilion.
“Dalam aspek pembangunan kapasiti dan keupayaan, seramai 132,453 usahawan dan koperasi menjalani program pemantapan kapasiti serta mendapat fasilitasi dan sokongan keusahawanan yang diperlukan.
“Selain itu, 314,342 individu mendapat pendedahan dan pembudayaan keusahawanan, iaitu seramai 51,221 daripadanya berjaya bergelar usahawan baharu.
“Dari aspek perluasan akses pasaran, seramai 4,992 usahawan dan koperasi mendapat akses pasaran merangkumi premis dan ruang perniagaan serta peluang menembusi pasaran domestik dan antarabangsa," jelasnya ketika berucap menyampaikan Amanat Kepada Warga KUSKOP 2025, di Dewan Menara Bank Rakyat, di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, seramai 3,562 usahawan dan koperasi memperkukuh perniagaan melalui adaptasi teknologi dan penggunaan platform e-dagang.
Selain itu Ewon berkata, sepanjang tahun lalu, KUSKOP juga melancarkan satu dasar dan dua garis panduan keusahawanan iaitu Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara (D3PKN) 2030, Garis Panduan Pelaksanaan Program SDSI Versi 2.0 dan Garis Panduan Aspek Kawal Selia Perniagaan Dari Rumah (Home-Based Business).
Katanya, jemaah menteri pada Disember 2024 turut bersetuju dengan pembangunan Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) oleh KUSKOP dan dijangka dilancarkan pada Februari 2025.
“Semua ini hasil sokongan seluruh warga KUSKOP serta 10 Agensi. Saya berbangga kerana aspirasi dan prinsip tata kelola yang baik terus menjadi pegangan dan amalan kita semua.
“Ini dapat diterjemahkan berdasarkan pencapaian program-program yang dilaksanakan sepanjang 2024, serta penambahbaikan yang akan dilaksanakan di bawah perancangan 2025.
“Saya percaya Team KUSKOP adalah pasukan yang sentiasa menjayakannya," katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan; Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak, ketua-ketua agensi dan warga kementerian.
|