PERIKSA: Pegawai ECoS dan SIRIM membuat pemeriksaan semasa OPS KLIK di kedai menjual kelengkapan elektrik pengguna di Putatan.
PUTATAN: Penjual kelengkapan elektrik di negeri ini dinasihatkan supaya hanya menjual kelengkapan elektrik yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) atau Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST).
Langkah berkenaan bagi memastikan peralatan yang dijual mematuhi aspek keselamatan dan kecekapan tenaga.
Baru-baru ini, ECoS bersama SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (cawangan Sabah) mengadakan Operasi Pemantauan Bersepadu Kelengkapan Elektrik (OPS KLIK) di beberapa kedai menjual kelengkapan elektrik pengguna di sini.
Operasi berkenaan mendapati masih terdapat peralatan-peralatan elektrik pengguna termasuk kipas, cerek, ketuhar, mentol lampu, soket sambungan, kabel pendawaian, dan palam kuasa yang tidak mempunyai label keselamatan ECoS-SIRIM atau ST-SIRIM dan Label Penarafan Kecekapan Tenaga ECoS.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Pemantauan ECoS yang mengetuai OPS KLIK Muhammad Azuan Zainuddin berkata, ramai dalam kalangan penjual tidak menyedari risiko keselamatan kepada orang awam akibat daripada penjualan kelengkapan elektrik pengguna tanpa kelulusan ECoS dan ST.
"Tindakan itu boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan juga boleh membahayakan nyawa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, kebanyakan kelengkapan elektrik pengguna yang tidak berlabel menjadi pilihan orang awam dengan mengambil kira harga yang lebih murah berbanding dengan kelengkapan yang mendapat kelulusan ECoS atau ST.
Menurutnya, label keselamatan ECoS-SIRIM dan ST-SIRIM adalah penting untuk membuktikan sesuatu kelengkapan elektrik pengguna diperiksa dan diuji mengikut piawaian yang telah ditetapkan.
Pada masa sama katanya, ia juga lebih selamat untuk digunakan berbanding dengan kelengkapan elektrik pengguna yang tidak berlabel.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi ECoS Ridwan Saham berkata, OPS KLIK adalah satu inisiatif penting ECoS untuk memberi pendedahan kepada para penjual kelengkapan elektrik pengguna di Sabah.
"Para penjual didedahkan mengenai tanggungjawab ECoS dalam mengawal selia aktiviti penjualan untuk memastikan kelengkapan elektrik pengguna yang dijual memenuhi kehendak Enakmen Bekalan Elektrik (EBE) 2024 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik (PPBE) 2024.
"Enakmen berkenaan memperuntukkan hanya kelengkapan elektrik pengguna yang diluluskan dan dilabelkan dengan Label Keselamatan ECoS-SIRIM, ST-SIRIM dan Label Penarafan Kecekapan Tenaga ECoS boleh dijual kepada orang awam.
"Kegagalan untuk mematuhi Peraturan 107 dan Peraturan 111(3) di bawah PPBE 2024 boleh mengakibatkan kelengkapan elektrik berkenaan untuk disita, dibuang atau dialihkan selaras dengan Peraturan 110(2) dan Peraturan 113(2) di bawah PPBE 2024," jelasnya.
Ridwan turut menekankan komitmen ECoS untuk meneruskan usaha pemantauan dan penguatkuasaan bagi penjualan kelengkapan elektrik pengguna yang tidak diluluskan untuk memastikan hanya kelengkapan yang selamat dijual kepada orang awam di Sabah.
|