TUARAN: Tiga lelaki yang hilang selepas bot mereka karam di muara dungai berhampiran Pantai Mimpian Jadi di sini berjaya ditemukan dalam keadaan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Mohamad Nor Amit berkata, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sejauh 12 kilometer selepas menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada jam 12.35 tengah hari.
“Kejadian membabitkan bot karam di muara sungai dan terdapat tiga orang mangsa termasuk lelaki berumur 44 tahun dilaporkan hilang.
“Mangsa pertama berjaya diselamatkan oleh orang awam dan sudah dihantar ke Hospital Tuaran sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi,” katanya.
Beliau berkata, dua orang lagi mangsa juga dijumpai dalam keadaan selamat pada jam 1.35 petang oleh nelayan.
Katanya, mangsa ditemukan pada jarak dua kilometer dari bot dilaporkan karam.
“Kedua-dua mangsa dibawa ke balai polis oleh pihak polis untuk membuat laporan.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya operasi ditamatkan pada jam 2 petang,” katanya.
|