Bukan segera diberi rawatan, malah petugas kesihatan itu meminta pesakit menggigit semula anjing berkenaan. -Agensi
JAKARTA - Seorang lelaki tidak menyangka apabila dia menerima jawapan yang mengejutkan daripada seorang petugas kesihatan apabila diminta menggigit kembali anjing yang telah menggigitnya.
Lelaki dikenali sebagai Jolhanda, 24, pada Sabtu lalu telah mendaftar sebagai pesakit luar di Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Kelobak, setelah terkena gigitan anjing liar.
"Pada mulanya saya fikirkan dia bergurau, tetapi ternyata nadanya dalam intonasi serius, malah saya mendapat ungkapan kurang sopan daripada petugas berkenaan," ujar Jolhanda kepada wartawan baru-baru ini.
Susulan itu, Jolhanda membuat laporan polis kerana merasakan diperlekeh oleh petugas kesihatan yang dikenali sebagai AG.
"Saya sangat tersinggung, adakah wajar seorang petugas kesihatan meminta saya menggigit semula anjing yang menggigit saya," katanya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Unit Siasatan Umum Jenayah Kepahiang, Aiptu Barus mengesahkan laporan berkenaan.
"Yang pasti kita akan segera tangani isu ini," katanya.
Perkembangan terbaharu menyaksikan, perkara itu sudah diselesaikan mengikut cara 'kekeluargaan'.
"Ini kelalaian petugas kesihatan kami, diharap kes sama tidak berulang.
"Pesakit juga sudah mendapatkan rawatan dan biayanya ditanggung oleh pihak kami," kata Ketua Jabatan Kesihatan Kepahiang, Tajri Fauzan. -Agensi
|