Edited by sfhzuraz at 22-1-2025 05:57 PM
Lelaki disyaki terbabit kes kebakaran di Kupang ditahan
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
22 Januari 2025 03:54pm
Laporan Sinar Harian sebelum ini mengenai kes kebakaran yang berlaku secara berturutan di Kupang.
BALING - Polis menahan seorang lelaki disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian kebakaran secara berturutan di Kupang di sini, sejak Disember lalu.
Difahamkan, lelaki berkenaan ditahan di sekitar daerah Baling baru-baru ini oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada suspek terlibat sepenuhnya dalam perbuatan khianat terbabit di mana siasatan lanjut mengenainya masih berjalan.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu.
Dalam masa sama, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dijangka mengadakan sidang media di IPK pada petang Rabu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kebimbangan masyarakat berhubung kejadian kebakaran yang berlaku secara berturutan membabitkan kira-kira 10 kes di Kupang sejak 24 Disember tahun lalu.
Terdahulu, Azmi dilaporkan berkata, insiden kebakaran yang dipercayai berpunca daripada motosikal sebelum merebak ke rumah dan kenderaan lain itu disyaki adalah perbuatan khianat individu tertentu.
Menurutnya, siasatan awal ke atas kejadian yang berlaku secara berturutan itu hanyalah kebakaran biasa, bagaimanapun, hasil siasatan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mendapati, terdapat unsur khianat.
https://www.sinarharian.com.my/article/708685/berita/semasa/lelaki-disyaki-terbabit-kes-kebakaran-di-kupang-ditahan
|