KUCHING: Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan seorang lelaki untuk menjalani bon menjaga keamanan akibat cuba menyerang penyelia di tempat kerja menggunakan sebilah parang setelah tidak berpuas hati ditegur dalam ‘Group WhatsApp’ kerja.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan mengarahkan Tajuddin Morshidi, 30, dikenakan jaminan RM500 (tidak didepositkan) berserta seorang penjamin tempatan. Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah.
Berdasarkan fakta kes, pengadu iaitu penyelia di tempat tertuduh bekerja didatangi tertuduh sekitar jam 5.05 petang pada 16 Januari 2025 di sebuah pusat konvensyen di Sejingkat di sini, yang membawa sebilah parang dan cuba penyerang pengadu.
Akibat terancam, pengadu membuat laporan polis yang kemudiannya membawa kepada penangkapan keesokan harinya.
Turut dirampas semasa tangkapan adalah sebilah parang yang disyaki senjata digunakan tertuduh semasa kejadian.
Hasil siasatan polis mendapati punca kejadian adalah kerana pengadu membuat teguran di dalam ‘Group WhatsApp’ kerja dan pengadu juga menegur agar tertuduh tidak membuang sampah merata-rata di tempat kejadian.
Malah, polis mendapati terdapat keterangan saksi yang melihat perbuatan tertuduh pada hari kejadian.
Oleh itu, sebagai langkah menghentikan perbuatan tertuduh dan agar dia tidak mengulangi perbuatan tersebut, tertuduh diperintahkan untuk menyempurnakan bon menjaga keamanan selama tempoh enam bulan di bawah Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah.
|