CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4901|Reply: 0

[Sarawak] Usahawan usah 'syok sendiri’, beradaptasi dengan perubahan pasaran

[Copy link]
Post time 22-1-2025 02:43 PM | Show all posts |Read mode


Willie dan isterinya (kiri) mencuba salah satu produk makanan yang dijual sambil disaksikan Mohd Zain (tiga kiri) pada Program Jom@Coop dan Bicara Ilmu 'Membina Jambatan Ekonomi: Dari Pasar Miri ke Pasar Dunia' di sini, hari ini.

MIRI: Golongan peniaga dan usahawan perlu menepis sikap 'syok sendiri', sebaliknya bersedia untuk beradaptasi dengan perubahan jika ingin maju dan mengembangkan perniagaan.

Tanpa mengurangkan kualiti produk, para peniaga perlu belajar untuk melakukan perubahan atau kesesuaian mengikut kehendak pasaran dan permintaan pelanggan, kata Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin.

Beliau yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) menekankan perkara itu semasa berucap pada majlis penutupan rasmi Program Jom@Coop dan Bicara Ilmu 'Membina Jambatan Ekonomi: Dari Pasar Miri ke Pasar Dunia' di sini, hari ini.

"Kalau kita mahu mengeluarkan produk mengikut cara kita sendiri, kemahuan kita sendiri tanpa mempedulikan kemahuan orang lain, itu namanya perniagaan 'syok sendiri'.

"Bukan kita yang membeli produk kita sendiri, tetapi menjual kepada orang ramai, jadi produk atau barangan yang kita jual hendaklah menepati kemahuan pelanggan dan orang yang membelinya.

"Kita perlu melakukan 'custom made' mengikut permintaan pelanggan, terutama jika kita mahu memasarkan produk kita ke luar negara atau di luar negeri ini," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, untuk menembusi pasaran antarabangsa produk tempatan perlu disesuaikan dengan cita rasa, budaya dan kehendak pengguna di negara yang ingin dimasuki.

"Sebagai contoh, produk makanan seperti biskut atau snek yang dihasilkan di Miri perlu diubah suai dari segi rasa atau pembungkusan untuk memenuhi standard dan permintaan pasaran global tanpa menghilangkan identiti tempatan," katanya.

Willie memberitahu, keberkesanan pemasaran bergantung sepenuhnya kepada kualiti produk dan dalam dunia global yang semakin terhubung ini, persaingan adalah sengit dengan pengguna lebih cenderung memilih produk berkualiti tinggi dan memenuhi piawaian antarabangsa.

"Oleh itu, usahawan perlu memastikan bahawa produk mereka bukan sahaja memenuhi standard tempatan tetapi juga piawaian global seperti HACCP (Hazard Analysis Critical Control Point) dan sijil Halal, yang sangat penting bagi pasaran-pasaran tertentu.

"Selain itu, dalam dunia digital hari ini, pemasaran melalui platform dalam talian adalah salah satu strategi yang paling berkesan.

"Dengan menggunakan media sosial, laman sesawang e-dagang dan pemasaran digital, produk tempatan dapat dipromosikan dan dijual ke seluruh dunia tanpa sempadan," jelas beliau.

"Sebagai usahawan yang ingin menembusi pasaran global, membina rangkaian yang kukuh di peringkat antarabangsa adalah sangat penting dengan memanfaatkan hubungan dan sokongan dalam membina strategi pemasaran yang efektif dan mengakses pasaran baharu.

"Jaringan ini juga membolehkan usahawan tempatan mengetahui lebih lanjut tentang trend pasaran dan peluang perniagaan di luar negara.

"Keberkesanan pemasaran global juga bergantung kepada pengurusan rantaian bekalan dan logistik yang efisien.

"Usahawan perlu memastikan bahawa produk mereka boleh dihantar dengan selamat dan tepat pada masanya ke pasaran sasaran, dengan kos yang berdaya saing," tambahnya.

Mengenai penganjuran Program Jom@Coop di Miri yang merupakan siri pertama tahun ini oleh IKMa, Willie berharap ia dapat menyuntik azam serta wawasan mendalam kepada semua peserta.

"Disokong dengan pendedahan ilmu tentang strategi pembangunan produk tempatan ke pasaran antarabangsa serta perkongsian pengalaman praktikal dalam industri ini, diharap ia dapat membantu koperasi dan usahawan tempatan mengembangkan potensi mereka," ujarnya.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) IKMa Mohd Zaid Mat Yunus, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sarawak Norazlan Annuar, Pengarah Institut Koperasi Malaysia Zon Sarawak Siti Maimunah Jerni serta wakil-wakil jabatan agensi kewangan berkaitan.  


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

31-1-2025 04:17 AM GMT+8 , Processed in 0.153616 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list