(Barisan tengah dari enam kiri) Hasbi, Yunus, Teo dan jawatankuasa Persatuan Hokkien Limbang bergambar bersama pasukan tarian singa pada acara pembukaan mata singa di Limbang, hari ini.
LIMBANG: Pembukaan kaunter khidmat pelanggan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) Daerah Limbang dan Lawas mendapat sambutan luar biasa dengan sasaran kehadiran lebih 11,000 penduduk dari kedua-dua daerah itu.
Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi berkata, kaunter yang dibuka seawal jam 8 pagi hingga 5 petang dibanjiri penduduk sejak dibuka pada Jumaat.
Beliau berkata, ia diadakan untuk membantu penduduk memahami prosedur dan kelayakan berkaitan SKAS.
“Kaunter SKAS di Limbang mendapat sambutan ramai dan berjaya.
"Masih ada penduduk yang datang jam 5.45 petang pada pembukaan kaunter itu tiga hari berturut-turut dan yang terakhir pada Isnin.
“Kita sasarkan penduduk di Lawas dan Limbang yang datang pada program itu melebihi 11,000 orang,” katanya ketika ditemui media pada Program Acara Pembukaan Mata Singa anjuran Persatuan Hokkien Limbang hari ini.
Turut hadir memeriahkan program itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Pengerusi Persatuan Hokkien Limbang Teo Ho Hin. Yunus turut meminta penduduk yang tidak layak mendapat SKAS untuk membuat rayuan bermula 1 Februari depan.
Kaunter khidmat pelanggan SKAS Daerah Limbang dibuka pada 18 hingga 20 Januari lalu di Gelanggang Petanque Dewan Suarah Limbang, sebelum disambung di daerah Lawas bermula semalam hingga Khamis ini di Arena Lawas.
Program ini merupakan inisiatif bersama Pejabat Daerah Limbang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memudahkan urusan permohonan, pendaftaran serta memberi pencerahan kepada penduduk mengenai isu-isu yang dihadapi.
Bagi pemohon yang belum memiliki akaun Sarawak ID, kaunter khas disediakan untuk membantu mereka mendaftar.
Selain itu, mereka yang sudah layak dan mempunyai akaun boleh membuat pendaftaran terus di kaunter S Pay Global.
Bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang dikenal pasti semasa operasi kaunter ini, antaranya, pemohon tiada akaun Sarawak ID, masalah pengecaman wajah, kehilangan kata laluan dan ketidaksesuaian maklumat seperti nombor telefon yang tidak sepadan.
|