S.KARUNANITHY
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di negeri ini selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM110,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berumur 50-an itu menerima suapan terbabit daripada beberapa syarikat yang mendapat projek pembekalan dengan jabatan tempat beliau bertugas.
“Suspek ditahan kira-kira jam 2.30 petang Selasa ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan ini pada awal 2024 dan meminta rasuah untuk pegawai-pegawai di bawah seliannya.
“Suspek juga disyaki menerima suapan dalam bentuk barangan seperti mesin basuh, komputer riba, tablet, telefon pintar, gitar elektrik, peralatan gim, aksesori kereta dan pembayaran untuk pembelian motosikal,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
“SPRM turut menyita dan merampas semua barangan dan suspek akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil,” katanya.
|