TABLET: Mohd Arifin merakamkan kenangan bersama penerima tablet bagi Program Anak Kita SPM 2025.
KOTA KINABALU: Seramai 1,833 pelajar dari 49 daerah yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini menerima tablet sempena Program Anak Kita SPM 2025.
Program berkenaan hasil inisiatif Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dikelolakan oleh Pantau MADANI dan Yayasan Hasanah.
Ia melibatkan sebanyak 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sabah dan usaha itu bagi memastikan tiada pelajar yang berdepan masalah pembelajaran pasca-pandemik.
Pada masa sama, ia menangani isu keciciran pembelajaran literasi dan numerasi serta bermatlamat meningkatkan peratusan pelajar layak menerima sijil SPM.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd. Arifin Mohd Arif berkata, pemberian peranti atau tablet itu menjadi medium utama dalam pelaksanaan 'Home Smart Schooling'.
Katanya, kaedah penggunaan peranti ini mampu memberi semangat kepada murid untuk belajar di samping meningkatkan kemahiran dalam penggunaan teknologi digital.
"Pembangunan pendidikan digital negara perlu disikapi seiring dengan perkembangan teknologi digital pada peringkat global dan nasional.
"Kerajaan bersedia dan berusaha melakukan perubahan dengan transformasi teknologi digital bagi meningkatkan daya saing dan kemajuan landskap pendidikan negara.
"Pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan dalam usaha mencapai hasrat negara maju dengan perkembangan teknologi digital khususnya dalam sektor pendidikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Kit Peranti Bagi Program Anak Kita SPM 2025 di sini hari ini.
Menurutnya, inisiatif-inisiatif yang diambil merangkumi menambah baik kemudahan infrastruktur Teknologi Maklumat Komunikasi (TMK).
Selain itu jelasnya, ia turut menyediakan sumber pendidikan dan aplikasi yang pelbagai berteraskan teknologi digital bagi mengupayakan pengajaran dan pembelajaran yang bermakna kepada murid dan guru.
"Inisiatif ini adalah untuk melahirkan generasi yang fasih digital. Pemberian peranti memberi manfaat kepada murid membuat carian pembelajaran menerusi aplikasi tersedia dan juga aplikasi lain seperti YouTube dan Tik Tok," katanya.
|