POLIS: Objek paku yang diletakkan di atas jalan raya di lokasi kejadian.
SEMPORNA: Polis sudah memanggil Ibu bapa kanak-kanak yang disyaki meletakkan paku, batu dan kayu di atas jalan raya di Kilometer 20, Jalan Semporna - Tawau, di sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, sebelum itu, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 6.27 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati objek itu dibuang oleh kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dengan tujuan untuk suka-suka.
“Kejadian itu disedari oleh pengguna jalan raya yang dalam perjalanan dari Semporna ke Lapangan Terbang Tawau, kira-kira jam 7.30 pagi, Ahad lalu.
“Ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang, pengadu terlihat beberapa objek seperti batu, kayu dan paku di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, objek itu dipercayai diletakkan secara sengaja oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan yang berlaku.
“Pengadu bersama pemandu bas pelancong yang lain bertindak membuang objek-objek berkenaan bagi mengelak kemalangan kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Mohd Sabri berkata, pihaknya sudah memanggil ibu bapa kanak-kanak terbabit untuk diberi nasihat supaya mengawasi anak mereka.
“Polis mengucapkan terima kasih kepada pengguna jalan raya yang prihatin dan mengambil tindakan segera bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini dari berlaku.
“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati dan memohon bantuan orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis di talian 089-782020 atau di Balai Polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 56 saat, memaparkan pengguna jalan raya menemukan beberapa objek seperti paku, batu dan kayu di atas jalan raya.
|