CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8354|Reply: 0

[Sabah] Akrobatik menarik di panggung politik Sabah

[Copy link]
Post time 21-1-2025 02:46 PM | Show all posts |Read mode


MENGIKUT perhitungan, tempoh pemerintahan kerajaan sekarang berbaki kira-kira lapan bulan lagi.

Menjelang 29 September, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan terbubar secara automatik jika tidak dibubarkan sebelum tiba waktunya.

Dan selepas tarikh berkenaan, ada tempoh dua bulan lagi kerajaan sementara berfungsi sebagai `caretaker government'. Ketika itu, kerajaan berfungsi seperti biasa kecuali tidak dibenar membuat keputusan besar atau berkaitan dasar.

Bermakna pilihan raya negeri ke-17 boleh diadakan paling lewat sehingga November.

Begitupun, bahang politik sudah mulai dirasa akhir-akhir ini.

Kelompok-kelompok politik mulai mengatur strategi dan menggerakkan jentera masing-masing, sebagai persediaan menjelang pesta demokrasi tidak lama lagi.

Seperti pertunjukan akrobatik, pelbagai aksi menarik kini mulai dipertontonkan di panggung politik Sabah. Sarkas politik mundar-mandir di sana-sini, cuba untuk memancing perhatian, memikat hati dan meraih simpati.

PRN-17 kali ini dijangka menjadi pesta demokrasi terbesar, dengan mengambil kira jumlah parti siasah yang mungkin masuk gelanggang pertarungan.

Ia juga bakal menjadi fokus dan tumpuan politik se-Malaysia lantaran Sabah mungkin satu-satunya negeri yang mengadakan pilihan raya kali ini.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus sudah bersiap untuk mempertahankan kerajaan yang didukungi, demi kesinambungan agenda pembangunan lima tahun pertama yang tercipta cemerlang.

Dianggotai lapan parti, GRS diterajui oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor, manakala gabungan empat parti dalam PH dipimpin oleh Datuk Ewon Benedick.

Lapan parti bernaung dalam GRS termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR),  Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Manakala PH dianggotai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Di satu blok lain, terdapat komponen Barisan Nasional (BN) yang dianggotai UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Perikatan Nasional (PN) serta parti-parti yang bergerak sendirian seperti Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM).

Politik Sabah, sejak dahulu sampai sekarang, sentiasa unik dan luar biasa sifatnya. Ia tidak pernah statik. Ada saja polemik yang mengheret debat berpanjangan. Dinamikanya bersandar pada sentimen, bukan pada ideologi.

Kerajaan GRS-PH Plus sekarang dibentuk selepas kudeta politik yang gagal awal tahun 2023, sekali gus meletakkan perancang kudeta itu di luar kerajaan.

UMNO Sabah terbelah dua, manakala WARISAN terus di posisi pembangkang di peringkat negeri biarpun kedua-duanya berada dalam jajaran politik Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

Ini situasi biasa di persekitaran ujana politik Sabah. Senario sedemikian juga pernah berlaku sebelum ini -- tidak sekapal di satu pelabuhan, tapi tidur sebantal di pelabuhan lain.

Menghitung hari menantikan wisel pilihan raya ditiup, kelompok-kelompok parti mulai mencari gandingan, untuk memberi saingan kepada kerajaan GRS-PH Plus.

Namun sehingga kini tiada keputusan dimuktamadkan, meski sesetengahnya sudah memberi bayangan untuk berpakat bagi mengintai 73 kerusi DUN di Sabah.
Selain itu, ada juga membayangkan hasrat bergerak solo.

Penganalisis politik memberi teori justifikasi hasrat itu sebagai tidak lebih daripada adu domba politikus untuk menanguk baung di air yang keruh -- menyasar hasil yang besar tanpa menyedari kailnya hanya panjang sejengkal.

Dengan bergerak sendirian, ia memberi peluang kepada seramai mungkin pimpinannya menjadi calon.

Dan dengan mimpi-mimpi indah dapat meraih kekuasaan majoriti mudah, maka dapatlah memancing harapan para pengikut mendapat kedudukan, justeru kerana lazimnya pemimpin parti yang mempunyai banyak kerusi akan diangkat sebagai Ketua Menteri yang membentuk kerajaan.

Penganalisis juga menanggapi teori bergerak solo itu seperti aksi akrobatik bagi membawakan debaran dan kejutan, biarpun ia sekadar satu pertunjukan yang biasa-biasa saja.

Haloba -- tidak mahu berkawan dan belum bersedia berkongsi kerusi -- juga mungkin faktor pendorong untuk bergerak sendirian. Tidak mahu berebut dengan regu atau sekutunya, jika bergabung awal dengan mana-mana blok atau parti.

Dalam konteks parti yang memerintah sekarang,  PH sememangnya sentiasa bersikap proaktif terhadap kerajaan GRS sejak awal dahulu.

Ini kerana GRS menjadi pelengkap ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan, pasca hiruk-pikuk politik susulan persaingan sengit pilihan raya umum yang berkesudahan tipis.

Secara peribadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Hajiji juga mempunyai hubungan akrab sejak lama dahulu, ketika era awal kemasukan UMNO ke Sabah.

Maka tidak hairan apabila kudeta politik menerusi apa yang disebut sebagai Langkah Kinabalu berlaku, Anwar segera terbang ke Sabah dan tuntas merungkainya.
Kenyataan ringkas Anwar `kita restu Hajiji sebagai Ketua Menteri' telah menamatkan episod politik itu serta-merta.

Dengan sokongan tujuh ADUN PH, maka Hajiji kekal menerajui kepimpinan negeri. Beliau kemudian merombak semula Kabinet negeri, membuang duri-duri tajam yang mendaging, lalu kerajaan dijenamakan sebagai GRS-PH Plus.

Keputusan Anwar berpihak kepada GRS dan tidak kepada kelompok yang cuba menggulingkan Hajiji adalah langkah terbaik.

Ini kerana ia secara jelas dan terbukti telah berjaya memperkukuh landskap politik Sabah, sekali gus menjamin kemakmuran negeri dan menciptakan lima tahun pertama yang cemerlang.

Hakikatnya, pola politik Sabah akan terus berputar laju bagaikan pendulum dalam tempoh beberapa minggu mendatang, sementara bahangnya juga akan terus mamanas.

Dan seperti pertunjukan akrobatik, ia pasti menarik perhatian dan dinantikan tatkala dipersembahkan di pentas terbuka dalam arena kebebasan demokrasi.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

31-1-2025 04:27 AM GMT+8 , Processed in 0.103718 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list