Pemain tengah Manchester United, Kobbie Mainoo (kiri) berebut bola dengan pennyerang Brighton, Danny Welbeck semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford pada Ahad. - Gambar AFP
LONDON: Manchester United tumbang 1-3 di tempat sendiri kepada Brighton ketika Old Trafford mengenang bintang legenda kelab, Denis Law pada Ahad sementara Tottenham Hotspur juga mengalami masalah yang sama apabila tewas 2-3 di Everton.
Manchester City kembali ke prestasi sebenar mereka apabila membelasah Ipswich Town 6-0 sementara Nottingham Forest muncul sebagai pencabar kejuaraan liga selepas menewaskan Southamptpn 3-2 untuk membawa skuad kendalian Nuno Espirito ke tangga ketiga liga tetapi berkongsi 44 mata dengan Arsenal di tangga kedua.
Pada hari yang suram ketika Man United memberi penghormatan kepada salah seorang bintang terbesar kelab, Law, skuad semasa United yang dibimbing Ruben Amorim diakui sebagai versi "terburuk dalam sejarah Manchester United."
Keputusan seri 2-2 di Liverpool dan kemenangan ke atas Arsenal dalam aksi Piala FA Inggeris awal bulan ini kelihatan satu lagi harapan palsu buat penyokong United.
Selepas hatrik lewat Amad Diallo kelihatan menamatkan krisis di kelab ketika menewaskan kelab tercorot, Southampton 3-1 pada pertengahan minggu, Brighton mendedahkan kelemahan dalam projek Amorim.
Yankuba Minteh, Kaoru Mitoma dan Georginio Rutter menjaringkan gol buat Brighton, yang meraih kemenangan untuk kali musim ketiga berturut-turut di Old Trafford.
United kekal di tangga ke-13 liga tetapi hanya memiliki kelebihan 10 mata di atas zon penyingkiran.
"Kami tidak mampu berfikir semuanya OK, kerana ia tidak," kata kapten United, Bruno Fernandes.
"Saya berada di sini bukan untuk kalah perlawanan dan berada di kedudukan kami ketika ini."
Sebelum sepak mula, penghormatan diberikan kepada Law, yang merupakan penjaring gol ketiga terbanyak dalam sejarah United - 237 gol dalam 404 penampilan.
Di Goodison Park, Tottenham kini tanpa kemenangan dalam enam perlawanan liga selepas Everton mengembalikan keyakinan untuk mengelak penyingkiran dengan kemenangan pertama dalam tempoh kedua David Moyes sebagai pengurus kelab.
Everton sebelum ini gagal menjaringkan gol dalam sembilan dari 11 perlawanna liga terakhir tetapi menjaringkan tiga gol sebelum rehat.
Gol pertama Dominic Calvert Lewin sejak bulan September meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan sebelum gol solo Iliman Ndiaye meletakkan Everton semakin selesa dengan dua gol.
Gol sendiri Archie Gray menambah lagi kekecewaan Tottenham.
Gol lewat Dejan Kulusevski dan Richarlison memulakan kebangkitan Spurs namun mereka gagal mengelak kekalahan ke-12 dalam 22 perlawanan.
Everton kini berada empat mata di atas zon penyingkiran dan kurang empat mata di belakang Tottenham di tangga ke-15.
Penyerang Manchester City, Erling Haaland (tengah) berlari melepasi pemain pertahanan Ipswich dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Portman Road pada Ahad. - Gambar AFP
Pada perlawanan lain, City memulakan perlawanan di tangga kelapan liga tetapi kelihatan seperti pasukan lama apabila membelasah Ipswich untuk kembali ke empat tangga teratas liga.
Phil Foden meneruskan rentak cemerlang apabila menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama, di antara gol Mateo Kovacic.
Erling Haaland meraikan lanjutan kontrak di City dengan gol dalam separuh masa kedua sementara dua lagi gol dijaringkan oleh Jeremy Doku dan James McAtee.
Forest menyamai kecemerlangan City dalam 45 minit pertama untuk merapatkan jurang di belakang pendahulu liga, Liverpool dengan kurang enam mata dan mengukuhkan impian layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan.
Elliot Anderson, Callum Hudson-Odoi dan Chris Wood menjaringkan gol sebelum rehat.
Southampton cuba bangkit dalam separuh masa kedua menerusi gol Jan Bednarek dan Paul Onuachu tetapi mereka kekal di landasan kembali semula ke Liga Kejuaraan, 10 mata dari zon selamat.
|