Pencarian terus dipergiatkan walaupun pasukan SAR terpaksa berdepan arus deras serta kayu hanyut yang menyukarkan operasi.
KANOWIT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Batang Rajang berhampiran Sedaya, Kanowit masih belum menemui sebarang petunjuk sehingga jam 3 petang ini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie berkata, SAR mangsa, Lau King Hock, 29, memasuki hari ketiga hari ini dan usaha pencarian giat diteruskan.
Katanya, operasi SAR hari kedua semalam melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
"Pencarian semalam meliputi radius sejauh 23 kilometer dari lokasi bot mangsa ditemui hanyut, namun usaha tersebut masih tidak membuahkan hasil. "Kami menggunakan tiga bot untuk dan pencarian dijalankan menggunakan teknik pencarian di permukaan air, namun arus deras serta kayu hanyut menyukarkan operasi.
"Keadaan cuaca semakin buruk juga memaksa operasi ditangguhkan jam 5 petang," katanya dalam satu kenyataan.
Kejadian dipercayai berlaku pada 16 Januari lalu apabila perahu mangsa ditemui hanyut di Batang Rajang sekitar jam 11 pagi.
Mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas menghantar isterinya ke Hospital Kanowit pada awal pagi hari yang sama.
Ibu mangsa membuat laporan polis jam 12 tengah hari selepas gagal menghubungi anaknya dan khuatir mangsa lemas.
Setakat ini, operasi SAR melibatkan kawasan sekitar hilir sungai sehingga ke Jambatan Durin dekat sini.
Lebih 30 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi bersama penduduk kampung terlibat dalam operasi tersebut.
"Operasi SAR hari ini masih berfokus pada kawasan hilir sungai dengan radius pencarian lebih luas," jelasnya.
|