Edited by Vellfire at 18-1-2025 06:38 PM
TINJAU: Ewon (tengah) meninjau pameran-pameran yang diadakan pada majlis itu.
PUTATAN: Kerajaan akan terus menyokong usaha pelbagai pihak termasuk persatuan-persatuan etnik memartabatkan bahasa ibunda mereka sebagai wadah perpaduan dan kebersamaan masyarakat majmuk di negara ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, ia termasuk usaha Persatuan Bahasa Etnik Sabah (SELA) menyediakan Modul Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Etnik Untuk Guru-Guru Bahasa Etnik (Kadazan, Tatana, Lotud dan Murut).
“Sebagai rakan pimpinan kerajaan, ini adalah satu perjuangan yang amat dekat dengan hati saya.
“Sebab itu, pada tahun lepas, kita telah mengambil inisiatif mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) mengenai pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa entik itu di sekolah.
“Dalam mesyuarat itu, satu jawatankuasa khas telah diwujudkan bagi memantau dan meneliti semua syor dan pelaksanaan pembangunan bahasa etnik Sabah (Kadazan, Tatana, Lotud dan Murut).
“Saya berharap sokongan daripada persatuan-persatuan etnik, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Kementerian Pendidikan serta kementerian saya sendiri melalui Yayasan Bank Rakyat (YBR) usaha memartabatkan bahasa etnik dapat dijayakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kursus dan Bengkel Penyediaan Modul Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Etnik, di sini, hari ini.
Ewon berharap dengan usaha dan sokongan berterusan semua pihak, bahasa etnik masyarakat Sabah dapat berkembang dengan baik di sekolah-sekolah.
“Mudah-mudahan suatu hari nanti sekolah-sekolah berkenaan akan menjadi platfom bahasa etnik berkembang dengan baik.
“Negara kita adalah tentang kebersamaan iaitu kebersamaan wilayah-wilayah yang ada dalam negara ini dan kebersamaan etniknya iaitu Melayu, Cina, India dan etnik-etinik lain termasuk Tatana, Kadazan, Dusun, Lotud, Bajau.
“Kalau satu etnik ini mahu berpisah daripada kita, sudah tentu persekutuan dan negara ini sukar untuk ditadbir.
“Sebab itu, saya melihat kebersamaan ini sebagai justifikasi yang kuat untuk terus memastikan setiap etnik ada penghormatan daripada kerajaan dalam sektor pendidikan,” katanya.
|