![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250117/btu-ub170125-ai-maritimtahan-p1.jpg)
Bot tunda ditahan Maritim Malaysia hari ini untuk siasatan lanjut.
BINTULU: Sebuah bot tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Bintulu di kedudukan 7.5 batu nautika timur laut Tanjung Kidurong Bintulu pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Bintulu Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot tunda tersebut ditahan susulan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Kesalahan Vesel di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
Katanya, ia beroperasi tanpa pemakluman bertulis kepada pendaftar kapal berhubung pertukaran nama nakhoda di dalam sijil pendaftaran.
"Penahanan itu semasa bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Ops Permai 01/2019 telah melakukan pemeriksaan terhadap bot tunda berwarna putih yang sedang dalam pelayaran menuju perairan Bintulu," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Kru bot tunda turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati bot tunda berkenaan dikendalikan tujuh kru warga tempatan dalam lingkungan umur 35 hingga 50 tahun.
"Bot tunda bersama kru yang ditahan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel(PTV) Zon Maritim Bintulu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut," jelasnya.
Tegasnya, Maritim Malaysia mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi undang-undang ketika melakukan sebarang aktiviti di laut.
Katanya, sebarang maklumat, aduan serta insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu melalui talian 086-314254 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.
|